Mengadakan rumah terbuka memerlukan belanja besar dalam menyediakan makanan |
Ini bertepatan dengan konsep rumah terbuka yang sudah lama menjadi tradisi di mana tuan rumah akan menerima kunjungan tetamu tanpa batasan masa dan waktu.
Sekalipun tuan rumah akan menyediakan juadah dan duit raya untuk kanak-kanak tetapi amalan ini sebenarnya lebih kepada ruang yang digunakan untuk saling bermaafan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini budaya rumah terbuka semakin mengambil-alih amalan tradisi ini.
Kini ia bukan sahaja menjadi trend kepada masyarakat di kota malah semakin menular di bandar-bandar kecil khususnya kepada mereka yang mendiami taman-taman perumahan.
Konsep rumah terbuka berbeza dengan amalan kunjung-mengunjung secara tradisi kerana ia lebih kepada mengadakan jamuan besar seperti kenduri di mana tetamu terhad kepada jemputan sahaja.
Juadah yang dihidangkan juga lebih menyerupai lauk-pauk kenduri termasuk makanan tradisi hari raya iaitu ketupat, rendang, lontong dan sebagainya.
Apa yang pasti konsep rumah terbuka ini memerlukan perbelanjaan yang lebih besar berbanding amalan tradisi lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi negara sekarang.
Harga barang yang semakin naik sekali gus akan meningkatkan lagi perbelanjaan terutama kepada yang mula merancang untuk menganjurkan rumah terbuka pada musim Syawal ini.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) juga menggalakkan rakyat di negara ini supaya kembali mengamalkan rumah terbuka secara tradisi.
''Rumah terbuka secara tradisi ini walaupun berlangsung selama sebulan tetapi tuan rumah tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar memandangkan kunjungan tetamu hanya untuk saling bermaafan dengan disediakan dengan sedikit hidangan ringan,'' kata Pengarah Komunikasinya, Mohd. Yusof Abdul Rahman baru-baru ini.
Tambahan pula katanya, tetamu yang datang biasanya tidak akan mengambil masa lama ketika bertandang memandangkan akan berkunjung ke rumah orang lain pula.
Selain itu katanya, rumah terbuka secara tradisi ini juga lebih menjimatkan perbelanjaan.
''Ini kerana kunjungan tetamu biasanya bukan untuk makan sahaja tetapi lebih ke arah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim,'' katanya.
Berbanding dengan majlis rumah terbuka yang menjadi trend masa kini kata Mohd. Yusof, pastinya tuan rumah tidak dapat mengelak daripada mengeluarkan perbelanjaan yang besar.
''Tambahan pula sekarang sudah ada yang mengedarkan kad jemputan seperti kenduri kahwin serta mengupah katering untuk menyediakan juadah kepada tetamu,'' katanya.
Katanya, selain menyediakan juadah yang banyak untuk tetamu yang dijangka akan datang tetapi akan berlaku pembaziran apabila makanan tidak habis dimakan dan sebagainya.
''Selain itu kedatangan tetamu yang datang beramai-ramai dengan serentak ini juga akan membuatkan tuan rumah tidak dapat memberikan layanan sebaik mengadakan rumah terbuka secara tradisi,'' katanya.
Bagaimanapun kata Mohd Yusof , tuan rumah sebenarnya masih boleh menjimatkan perbelanjaan jika ingin menganjurkan rumah terbuka.
Katanya tuan rumah harus memastikan jumlah tetamu yang bakal dijemput supaya dapat menyediakan makanan yang secukupnya.
Katanya, ini penting bagi tuan rumah membuat perbelanjaan yang tepat supaya sekali gus tidak melakukan pembaziran.
Mohd. Yusof memberitahu, untuk lebih menjimatkan lebih baik jika tuan rumah memasak sendiri juadah yang akan disediakan untuk tetamu.
Selain itu, katanya, apa salahnya jika mengadakan gotong-royong untuk menyediakan masakan untuk rumah terbuka ini yang sememangnya berkonsep ala majlis kenduri.
Jelas Mohd. Yusof sekali gus ini akan menggalakkan hubungan yang lebih akrab sesama jiran tetangga, rakan dan sanak-saudara.
No comments:
Post a Comment