Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-12 (2011) berkemungkinan besar merupakan sesi Parlimen terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ketiga Belas (PRU Ke-13) diadakan. Mengikut takwim Parlimen, Dewan Rakyat dijadualkan untuk bersidang mulai 3 Oktober 2011 sementara Perdana Menteri (PM) merangkap Menteri Kewangan Najib Razak akan membentangkan Belanjawan Negara 2012 pada petang 7 Oktober 2011.
Ramai yang menjangkakan bahawa Belanjawan akan datang merupakan "belanjawan pilihan raya" di mana pelbagai "gula-gula PRU Ke-13" akan diumumkan untuk menawan hati para pengundi. Belanjawan pilihan raya lumrahnya juga dianggap sebagai mempunyai kecenderungan bersifat populis.
PM sendiri, seawal bulan Mei tahun ini, sebelum gelombang tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya menguningkan sebahagian besar halaman Facebook sebelum dan selepas perhimpunan besar-besaran BERSIH 2.0 pada 9 Julai, telah menyatakan bahawa Belanjawan 2012 "adalah inklusif, bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi", seakan-akan cadangan yang dibentangkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) berhubung pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) telah diterima pakai dan kuota Bumiputera yang termaktub dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) semenjak tahun 1970 telah dimansuhkan.
Seolah-olah sifat inklusif telah mencorakkan keseluruhan langkah-langkah transformasi dan memanfaatkan segenap rakyat jelata tanpa dipengaruhi faktor-faktor seperti politik naungan, budaya rent-seeking dan perbezaan etnik.
Tatkala itu juga, PM masih mimpikan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mencapai sasaran 6% tahun ini. Dasar "rasionalisasi subsidi" Kerajaan UMNO-BN yang pro-korporat dan membebankan rakyat masih mendominasi dunia buzzword dan hangat dipertahankan oleh ahli politik, badan pemikir dan ahli akademik yang tidak tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2300 atau secara purata RM1500.
Ciplak atau kebetulan? Buku Jingga Pakatan juga menjanjikan pemberian RM500 yang didakwa ahli politik dan badan pemikir kerajaan kononnya akan membangkrupkan negara! Buku Jingga "mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa." Kalau begitu, apakah pemberian bonus, gula-gula pilihan raya dan subsidi berbentuk insentif kepada syarikat kroni oleh kerajaan tidak membangkrupkan negara? Kalau begitu, apakah pemberian "duit raya" sejumlah RM42.6 juta kepada seramai 112,635 peneroka akan membangkrupkan FELDA?
Yang menjadi penghalang kepada transformasi ekonomi dan negara ialah budaya berbau monopolistik seperti yang dibangkitkan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam kenyataannya bertajuk "Pakatan Malaysia Airlines dan AirAsia: Berbau monopolistik atau selamatkan ekonomi negara?" pada 12 Ogos 2011, yakni wacana baharu di sebalik penggubalan Akta Persaingan 2010 yang diluluskan pada bulan Mei 2010 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 adalah bahawa, negara perlu memainkan peranan untuk menyediakan suasana persekitaran ekonomi yang menggalakkan persaingan yang sihat untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya menggalakkan amalan berbau monopolistik yang membantutkan semangat persaingan kompetitif. Tetapi sehingga hari ini kita masih menyaksikan realiti yang sebaliknya dalam banyak kes.
Begitu juga, kemelut yang melanda Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dawama Sdn. Bhd, yang melibatkan pekerja Dawama tidak dibayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan seumpamanya, masih menanti-nanti jawapan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan "anak seorang PM dan bangsawan" berhubung pertanyaan-pertanyaan berkisar sekitar nisbah agihan perkongsian keuntungan tidak masuk akal iaitu 80:20 (Dawama-DBP) untuk judul umum dan 70:30 untuk buku teks.
Banyak isu dan persoalan yang menanti jawapan kementerian-kementerian berkaitan dalam siding Parlimen akan datang. Jangan pula wakil rakyat terlupa kepentingan isu-isu berkaitan kerana terlalu asyik dengan soal sama ada diri mereka akan menjadi calon pada PRU Ke-13.
Tarikh akhir menghantar soalan Parlimen untuk sidang Dewan Rakyat bulan Oktober nanti ialah 9 September 2011, saya sedang merenungkan persoalan ini: Apakah reaksi anak seorang PM dan bangsawan, apabila beliau diajukan dengan soalan parlimen berikut.
"Minta Menteri menyatakan usaha kerajaan untuk meyakinkan Generasi 709 termasuk Pak Samad, bahawa masih belum tiba masanya kerajaan ini ditukar."
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.
No comments:
Post a Comment