Thursday, August 11, 2011

Peniaga Bazar Ramadan Perlu Letak Tanda Harga


ALOR SETAR – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Kedah telah memberi notis kepada peniaga bazar Ramadan kerana tidak mempamerkan tanda harga pada juadah yang dijual.



“Setiap tahun kita telah memberitahu kepada semua peniaga supaya meletakkan tanda harga kepada setiap makanan yang dijual tetapi ada juga peniaga yang tidak mematuhi arahan.

“Bukan sahaja di bazar Ramadan, tetapi peniaga di pasar tani, pasar pagi dan pasar malam juga perlu mengikut arahan ini,” kata Timbalan Pengarah (Seksyen Penguatkuasaan) PPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari.

Beliau berkata peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga boleh didenda sehingga RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Jika ia merupakan kesalahan kedua dan seterusnya, peniaga boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Berkaitan rungutan orang ramai bahawa makanan yang dijual di bazar Ramadan terlalu mahal, Suhaimi berkata PPDNKK tidak mempunyai hak dalam menentukan harganya kerana juadah tersebut bukan merupakan barang kawalan.

“Sebab itulah kita mewajibkan semua peniaga meletakkan tanda harga supaya pengguna dapat memilih untuk membeli di gerai mana yang menjual lebih murah,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment