Sunday, August 21, 2011

Ezuwan Ismail Reka Baju Nikah Memey Suhaiza


KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2011: Menanti tibanya hari bahagia pada tanggal 24 September ini, pasangan dua sejoli Norman Hakim dan Memey Suhaiza tentunya sedang sibuk melakukan persiapan sempena meraikan tarikh keramat dalam kehidupan mereka berdua.



Pastinya ramai yang ingin tahu, siapakah gerangan pereka fesyen yang bakal mengindahkan penampilan dua mempelai, terutama kala berlangsungnya majlis akad nikah dan resepsi berkenaan.

Jika di majlis resepsi, pereka fesyen popular Hatta Dolmat bakal melempiaskan kreativitinya di atas persalinan gaun pengantin serba mewah, untuk majlis akad pula pereka fesyen muda, Ezuwan Ismail telah menjadi pilihan pengantin perempuan.

Masih belum pasti, rekaan mana yang akan menjadi pilihan bakal raja sehari berkenaan, Ezuwan ketika ditemui portal murai.com.my berkata, dia telah menyiapkan dua rekaan istimewa khusus untuk acara paling penting berkenaan.

"Sememangnya Memey sering menggayakan pakaian rekaan saya dan saya agak terharu apabila dia telah meminta saya untuk mereka pakaian di majlis pernikahannya nanti.

"Tak sangka pula, perkahwinan mereka nanti khabarnya akan berlangsung secara besar-besaran kerana pada awalnya, mereka hanya merancang untuk melangsungkan secara bersederhana. Itu yang membuatkan saya lebih teruja," katanya.

Memey Suhaiza dan Norman Hakim, bakal mengikat tali pernikahan pada 24 September ini, diikuti majlis resepsi sebelah mempelai perempuan keesokan harinya di Kota Tinggi, Johor dan diakhiri dengan majlis resepsi besar-besaran yang bernilai RM12 juta di ibu negara.

Sementara itu, tambah Ezuwan, dua lakaran imej persalinan pada majlis akad nikah itu sudahpun selesai. bagaimanapun dia masih menunggu kata putus pelakon berkenaan untuk memilih rekaan mana yang menjadi pilihan hatinya.



Katanya, kedua-dua rekaan itu memiliki dua citarasa yang berbeza, tetapi masih mengikut keinginan fantasi Memey Suhaiza yang mahu dirinya dilihat bak permaisuri jelita di hari bahagia itu nanti.

Jelas pereka beriltizam tinggi itu, rekaan pertama ilhamnya bertemakan citarasa English Modern, manakala satu lagi berteraskan Tradisional Melayu.

"Istimewanya untuk persalinan English Modern ini, saya menggunakan rekaan baju kurung sebagai ilham yang diserikan dengan kehadiran kuntuman bunga ros yang akan dihiasi secara melata di atas persalinan itu nanti.

"Manakala konsep kedua yang bertemakan Tradisional Melayu, juga turut menggunakan tema bunga-bungaan, cuma beza dari segi rekaannya yang dihiasi dengan labuci. Kedua-dua pakaian itu nanti, Memey akan menggayakannya bersama selendang chifon," katanya.

Keterujaan Ezuwan nampaknya berbaloi apabila dia juga telah menjadi pilihan Norman Hakim untuk mereka pakaian baju Melayu teluk belanga pada hari bahagia itu nanti.

No comments:

Post a Comment