Monday, August 22, 2011

Anwar : Najib Ikut Langkah Mentornya Dr. M

KUALA LUMPUR 22 OGOS: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tuduhan liwat kedua terhadapnya merupakan konpirasi melibatkan Perdana Menteri Najib Razak.


Beliau seterusnya mendakwa rancangan membunuh karier politiknya merupakan kesinambungan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada tahun 1998 untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal berkuasa.

"Najib Razak sedang melakukan perkara yang sama seperti mentornya (Mahathir) dengan menggunakan sepenuh kuasa melalui media, polis, Peguam Negara dan undang-undang untuk menggulingkan keadilan dan menghumban saya keluar daripada politik," katanya.


Memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh, Anwar berkata keputusan itu susulan ketidakyakinan beliau untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dalam kes fitnah liwat II melibatkan pengadu Saiful Bukhari Adzlan.

Katanya, penglibatan "tangan hitam" dengan agenda politik sangat jelas di mana kes liwat itu direkasaya bertujuan memusnahkan watak beliau.

Selain itu Anwar menegaskan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah gagal berfungsi sebagai hakim yang bebas memandangkan setiap keputusan seolah-olah memberi kelonggaran kepada pendakwaraya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengecam tindakan Zabidin yang dengan sendiri mencadangkan kepada saksi-saksi pendakwaan untuk membuat pilihan menolak temuduga.

"Yang Arif telah mewujudkan satu kedudukan di mana saya tidak boleh memberikan keterangan secara bersumpah," tambah beliau.

Pada tahun 1998, Anwar disabitkan dengan tuduhan liwat dan rasuah serta dikenakan hukuman penjara 15 tahun.

Namun Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan liwat Anwar pada tahun 2004, selepas mendapati percanggahan dalam kes pendakwaan.

"Begitulah kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan kepada saya dahulu dan itu adalah kezaliman dan ketidakadilan yang berterusan hari ini," jelas Anwar lagi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebaliknya berkata walaupun akan dipenjarakan selama 20 tahun jika disabitkan kesalahan, beliau tidak akan menyerah kalah.

Anwar didakwa meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara antara jam 3 hingga 4:30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau akan dikenakan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment