Sunday, October 21, 2012

Seminggu menduda, Jimmy Shanley sudah ada kekasih



Minggu lalu, sehari selepas disahkan bercerai, pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley seakan cuba melarikan diri daripada pihak media. Telefon bimbitnya dimatikan, hanya pada sebelah petang barulah pengacara berdarah kacukan itu sedia membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar.

Itu pun dia hanya membalas ringkas setiap pertanyaan yang diaju, cukup untuk menggambarkan gelora perasaannya ketika itu. Namun, selepas seminggu menduda secara rasmi, Jimmy tiba-tiba menghantar SMS kepada HIP kerana mahu berkongsi sesuatu. 

Agak mengejutkan apabila dalam SMS itu, Jimmy mendakwa, dirinya sudah dilamar. 

Namun, usaha HIP mendapatkan penjelasan mengenai kenyataannya itu terutama bertanya siapa dan bila dia dilamar, hampa. Sebaliknya, Jimmy membalas, dia hanya sedia memberi butiran lebih lanjut, bulan depan.

Ketika ditanya adakah dia sudah bersedia untuk menerima suri baru dalam hidupnya. Jawabnya, secara jujur, dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti bekas isteri, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 26.

Bagi saya masih terlalu awal untuk memikirkan mengenai jodoh. Memang pada hakikatnya sudah dua tahun saya hidup sendirian. Tetapi secara rasminya, saya baru seminggu menduda, jadi saya tidak mahu fikir soal pengganti dalam waktu terdekat ini.

Fikiran saya masih lagi kosong. Saya hanya mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran di peringkat sarjana yang hanya berbaki enam bulan, selain fokus kepada perniagaan keluarga, katanya. 
Ditanya apakah dia masih menyayangi Suhaila, jawab Jimmy, perasaan itu sudah lama terhakis kerana masalah rumah tangganya bermula sejak awal perkahwinan lagi.

Saya sudah biasa dan tiada apa yang perlu rasa sedih. Hubungan kami bukannya baru kini bermasalah, tetapi sejak awal perkahwinan lagi sudah tiadanya persefahaman membuatkan saya menjadi lali, jawab Jimmy.

Dia menafikan perasaan itu mula pudar kerana kemunculan sekuntum bunga di taman hatinya. Bulan lalu, Jimmy dilihat membawa seorang wanita bertubuh kecil dan berambut panjang menemaninya menyaksikan konsert kumpulan Noah atau nama lama band Indonesia itu, Peterpan. 

Ketika ditanya adakah wanita itu kekasihnya, Jimmy menepis dakwaan, sebaliknya menjelaskan wanita yang dilihat bersamanya itu adalah anak saudara.

Itu bukan teman wanita saya, tetapi anak kepada abang saya. Kami sama-sama meminati Noah, jadi saya bawalah dia bersama saya, kata Jimmy.

Ketika ditanya mengenai buah hati, si kecil Zahra Rania Shanley, setahun lima bulan yang menetap bersama keluarga bekas mentua, Jimmy enggan mengulas.

Ini kerana dia tidak mahu mengganggu prosiding mahkamah terhadap hak penjagaan anak yang masih diteruskan. Namun, jauh di sudut hatinya, Jimmy amat menyayangi dan merindui buah hatinya itu.

Jimmy diijabkabulkan dengan Suhaila pada 1 Oktober 2010, tetapi selepas 20 hari selepas bernikah, pasangan itu menggemparkan peminat apabila dikatakan tinggal berasingan berikutan tiada persefahaman.

No comments:

Post a Comment