Wednesday, September 5, 2012

Samsung perkenal Galaxy Note 2


Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd merancang membawa masuk Galaxy Note 2, telefon pintar tablet generasi keduanya ke pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini.

Ketua Bahagian Telefon Mudah Alih, Vincent Chong Weng Kai, berkata pengumuman pelancaran produk telefon pintar tablet yang menjadi tumpuan utama pengunjung ketika pameran elektronik terbesar di Berlin, baru-baru ini, ke pasaran tempatan akan dibuat tidak lama lagi. Katanya, pengenalan Galaxy Note 2 yang mengiringi pelancaran Galaxy Note 10.1 baru serta Galaxy S3 adalah sejajar hasrat gergasi elektronik itu untuk memacu pertumbuhannya menerusi pembangunan produk terbaik secara berterusan. 
Pelan pengembangan 

Ini adalah sebahagian daripada pelan pengembangan kami ketika ini yang bertujuan mengukuhkan penguasaan pasaran Samsung khususnya dalam segmen telefon mudah alih tempatan. 

Galaxy Note 2 akan dibawa masuk ke pasaran tempatan pada suku akan datang (Oktober hingga Disember ini), katanya tapi enggan mengulas lanjut harga Galaxy Note 2 apabila ditawarkan di pasaran tempatan kelak. 

Beliau ditemui selepas pelancaran Galaxy Note 10.1 baru di Kuala Lumpur, semalam.



Galaxy Note 10.1 baru yang ditawarkan pada harga cadangan RM2,199 memuatkan beberapa teknologi yang dipertingkat seperti pemprosesan empat teras 1.4 GHz, RAM 2GB, ciri-ciri paparan-multi, pengenalan S-Pen dan aplikasi S-Note. 

Mengulas kes mahkamah antara Samsung Electronics dan Apple Inc di peringkat antarabangsa, Chong berkata pihaknya yakin ia tidak memberikan sebarang kesan kepada operasinya di Malaysia.


No comments:

Post a Comment