Thursday, September 13, 2012

Penjaga gol kebangsaan didenda khalwat



PETALING JAYA - Penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam selepas mengaku salah berkhalwat dengan seorang jurumekap yang masih berstatus isteri orang pada tahun lalu.


Selain Mohd. Farizal, 26, yang turut menjaga gawang Negeri Sembilan, turut dikenakan hukuman serupa ialah pasangannya, Zaiton Othman, 29, yang kini telah bergelar ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak.

Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar turut mengarahkan kedua-duanya dihukum penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Pasangan itu yang datang berasingan membayar denda tersebut di kaunter mahkamah sejurus prosiding berakhir.

Mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah bilik di sebuah rumah milik rakan Zaiton di 3A-02, Blok A, Shang Villa Condo, No. 2A, Jalan SS7/15, Kelana Jaya di sini pada pukul 3.40 pagi 12 Oktober 2011.

Pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang diakui kedua-dua tertuduh, sewaktu pintu bilik dibuka, Zaiton berseluar panjang hitam dan baju T ketat warna merah jambu dalam keadaan meniarap manakala Farizal yang juga memakai baju T dan berseluar pendek berada dalam keadaan berselimut di atas katil.

Terdahulu, Mohd. Farizal mendakwa dirinya insaf dan kesal dengan kesilapan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

"Sejak kes ini keluar surat khabar, ia menjejaskan reputasi saya dan keluarga, orang ramai mula mencemuh, mungkin salah saya," katanya yang memberitahu sudah mempunyai perancangan untuk menikahi Zaiton kelak.

Sehubungan itu, anak kelima daripada tujuh beradik itu memohon hukuman denda yang ringan kerana perlu menanggung adik-beradik yang bersekolah serta ibu bapa pula sudah tidak bekerja.

"Saya juga hanya bekerja kontrak dan bukannya tetap. Selepas apa yang terjadi, saya bimbang sekiranya kontrak saya tidak disambung pada musim depan," katanya dalam nada perlahan.

Sementara itu, Zaiton yang kelihatan sebak turut insaf dan memohon hukuman ringan kerana sejak bergelar ibu tunggal, dia perlu menyara dua orang anak serta membayar pelbagai pinjaman peribadi dengan pendapatan bulanan yang tidak tetap.

Katanya lagi, dia masih trauma dengan perceraian yang berlaku hampir setahun lalu akibat kejadian tersebut.

Farizal diturunkan semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Vietnam Selasa lalu yang menyaksikan pasukan kebangsaan dibolosi 2-0.

No comments:

Post a Comment