Sunday, September 9, 2012

Ning Baizura, Mizz Nina buat show disyarikat arak dikesali


Penyanyi Ning Baizura dan Mizz Nina diminta mempertimbangkan semula keputusan mereka mengadakan persembahan pada majlis sambutan ulang tahun sebuah syarikat minuman keras, penghujung bulan ini.

Beberapa penulis blog kesal dengan sikap penganjur acara berkenaan yang memilih dua penyanyi beragama Islam untuk menghiburkan tetamu pada majlis yang akan berlangsung 28 September ini di sebuah kelab malam.

Blog Cucu Tok Selampit (khairulryezal.blogspot.com) berkata, pihak penganjur jelas tidak peka dengan sensitiviti umat Islam apabila sengaja mengundang kedua-dua artis itu untuk mengadakan persembahan pada acara tahunan tersebut.

"Tindakan tidak sensitif kelab malam, syarikat penganjur, syarikat arak dan kedua-dua artis Melayu berkenaan bakal mengundang kontroversi dan kemarahan umat Islam di Malaysia.

"Buat Ning Baizura dan Mizz Nina, masih banyak lagi tawaran bernyanyi dan berlakon yang boleh anda berdua terima selain daripada menerima tawaran untuk menghiburkan tetamu di malam ulang tahun syarikat arak berkenaan," katanya dalam entri terbaru blog itu hari ini.


Poster promosi acara tersebut yang tersebar di Internet dengan jelas memaparkan kedua-dua artis berkenaan bakal menghiburkan tetamu dan

mereka yang hadir juga turut dihidangkan dengan minuman keras keluaran syarikat berkenaan.

Blog Beautiful Nara (beautifulnara.com) pula berkata, ia tidak menjadi masalah jika artis bukan Islam yang membuat persembahan pada acara tersebut tetapi ia boleh mencetuskan kontroversi jika melibatkan artis beragama Islam.

“Masih sempat lagi rasanya untuk Ning Baizura dan Mizz Nina membatalkan persembahan ini supaya tidak dipandang serong oleh peminat mereka," kata blog hiburan tersebut.

No comments:

Post a Comment