Sunday, September 2, 2012

Ahmad Idham kongsi rezeki di Rumah Terbuka

Bersama rakan artis Eira Shazira dan suami, Azad Jasmin serta Hazama.

Aidilfitri sudah mencecah hari yang ke-15, namun kemeriahan sambutannya masih lagi terasa dengan jemputan-jemputan rumah terbuka.

Turut memeriahkan suasana hari raya tahun ini, pengarah, Ahmad Idham tidak terlepas menganjurkan rumah terbuka khas buat kenalan, pihak media dan sanak saudaranya.

"Saya bersyukur matlamat untuk mewujudkan suasana kekeluargaan antara teman rapat, rakan penggiat panggung dan media tercapai. Sambutannya juga agak meriah dan saya gembira mereka sanggup meluangkan masa untuk hadir ke rumah saya.

"Rumah terbuka kali ini adalah yang pertama kali secara individu saya lakukan mewakili syarikat produksi saya. Alhamdulillah segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar," katanya.

SH : Erat perhubungan

Menurutnya, aktiviti seperti ini sedikit sebanyak dapat merapatkan lagi talian persaudaraan dan silaturahim yang terjalin antara tetamu yang hadir.

Katanya, selain mengeratkan hubungan sesama rakan-taulan dan saudara mara, majlis seumpama ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaannya.


"Saya akui kadangkala terlalu sibuk di lokasi. Tapi bila ada masa terluang seperti ini, saya cuba manfaatkan untuk bersama keluarga," jelas suami kepada Amy Abdul Aziz, 36.

Menyentuh tentang kehidupan keluarganya, pengarah berbintang ini tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah kepada empat orang cahaya matanya iaitu Ahmad Firdaus, 12, Ahmad Aydeel, 8, Kintan Myra, 6, dan Akim Khaliff, 2.

Idham berkata, pekerjaan dan kejayaan yang diperjuangkan sehingga ke hari ini dilakukan hanyalah untuk keselesaan keluarganya.

"Selama ini pun saya bekerja kerana mahu mencari rezeki untuk keluarga. Sudah tentu saya juga mahu luangkan masa bersama mereka lebih-lebih lagi dengan keadaan anak-anak yang masih kecil.

"Pengurusan masa yang sistematik amat penting supaya saya memiliki masa bersama keluarga, teman-teman dan pada masa yang sama dapat menjalankan karier dengan baik," katanya.

Tambah Idham, jika ada kelapangan, dia gemar membawa keluarganya melancong ke lokasi-lokasi menarik tidak kiralah di luar mahupun dalam negara.

"Bagi saya keluarga adalah keutamaan dan sebagai seorang suami dan ayah saya perlu beri perhatian yang secukupnya kepada mereka. Walau sesibuk mana pun, saya akan adakan masa untuk keluarga," katanya.

No comments:

Post a Comment