Tuesday, August 7, 2012

Farid Kamil mahu jadi hero yang berbeza



KEHADIRANNYA dalam industri seni tanah air menambah jumlah bilangan hero tempatan. Selain itu, keberkesanan lakonannya boleh disifatkan sebagai sesuatu yang membanggakan apatah lagi selepas dia duduk di kerusi sebagai pengarah dalam usia muda.

Namun dalam kegigihan Farid Kamil berusaha menjadikan dirinya sebagai satu watak yang menonjol, dia perlu berhati-hati agar tidak terus leka dan kemudiannya wujud perasaan bangga diri dalam diri sendiri.

Itu pandangan sesetengah pihak kepada diri aktor popular ini. Sudah ada desas-desus yang tersebar mengatakan Farid Kamil hari ini agar berbeza dengan yang dikenali dua atau tiga tahun lalu. Benarkah?

Meskipun tidak pasti sejauh mana kebenarannya, tidak salah kalau setiap teguran dilihat dari sudut positif oleh Farid.

Menyangkal dakwaan yang kononnya dia kini sudah mendabik dada dan terlalu berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang seni, anak muda ini memberitahu, dia tidak pernah terfikir untuk bersikap sedemikian.

"Industri kita kecil dan tidak perlu rasanya hendak berperangai tak elok sebegitu. Jika ada orang nak kritik, saya terima dengan hati yang sangat terbuka," katanya, tegas.

Bagaimanapun, menurut Farid tidak semua hal akan dipandang dengan kedua-dua belah mata.

Farid Kamil sebagai teraju utama dalam Filem 1Malaysia arahan Mamat Khalid iaitu "Estet" disamping Jasmine Michael, Mislina Mustaffa, Rosyam Nor dan Sofi Jikan.

"Ini kerana saya akan nilai terlebih dahulu kritikan yang dilemparkan. Sama ada ia relevan atau tidak, saya akan nilai dan kemudian membuat keputusan," tegas pelakon filem Estet itu.

Menurut Farid, dalam industri ini, dia bersedia untuk sebarang kemungkinan. Dikritik dan dihakimi oleh orang lain, dia bersedia kerana tahu itu adalah asam garam orang terkenal sepertinya.

Dia tidak boleh hidup dalam dunianya yang tersendiri, memandangkan jatuh bangun kerjayanya banyak ditentukan oleh pandangan pihak lain.

"Kritikan akan buat kita tahu apa yang betul, atau salah. Kita juga boleh mencari kelemahan diri melalui kritikan orang, tetapi macam yang saya cakap, saya akan nilai dulu apakah hal yang dikritik itu?

"Kalau saya rasa perlu, saya akan mengambilnya sebagai pengajaran, kalau tidak releven, saya boleh memilih untuk tidak mengendahkannya. Ini kerana dalam banyak keadaan, kita juga tahu berfikir mana yang baik atau sebaliknya untuk hidup kita sendiri," katanya.

Menurut Farid, dia sudah melakukan banyak persediaan untuk kekal lama dalam industri termasuklah soal persaingan.

Dalam menghadapi kelahiran pelakon baru yang semakin bercambah, dia optimis dan menyifatkan perkara tersebut sebagai persaingan yang sihat.

"Saya tidak melihat perkara tersebut sebagai ancaman dalam karier saya kerana setiap pelakon mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri.

"Jika ingin dilihat dari sudut persaingan, saya rasa sangat bertuah kerana dapat bersaing bersama dengan Eman Manan dan Sidi Oraza ketika zaman awal menceburkan diri dalam bidang ini.

"Malah saya juga pernah tercalon untuk Pelakon Lelaki Terbaik ketika Festival Filem Malaysia ke-23 dahulu.

"Apa-apa pun, Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana sehingga ke hari ini saya masih mendapat tempat dalam industri," katanya penuh keyakinan.

Perbaiki diri

Setelah muncul di layar perak dengan pelbagai watak, Farid mengakui terdapat beberapa perkara yang masih perlu diperbaikinya bagi memastikan mutu lakonan sentiasa terjaga.

"Jujurnya dalam setiap lakonan saya memang ada kesilapan yang dilakukan. Tapi dalam masa yang sama, terdapat juga peningkatan dalam kepelbagaian watak yang pernah saya bawakan tersebut.

"Ini memberi peluang dan juga ruang kepada saya untuk sentiasa memperbaiki segala kelemahan agar lakonan saya tidak nampak sama dan juga klise.

"Setiap hari yang saya lalui kini merupakan sesuatu yang baru kepada saya. Saya tidak boleh cepat berasa puas hati dan harus terus berusaha untuk memastikan setiap perkara yang saya lakukan mampu memuaskan hati semua pihak," katanya ketika ditemui pada penggambaran filem terbitan Grand Brilliance iaitu Pengapit.

Filem arahan Wan Hasliza ini menggandingkannya bersama Nadia Nissa sebagai heroin.

Filem ini akan menjadi buah tangan Farid kepada peminat yang menyukai gaya lakonannya di pawagam pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment