Monday, July 30, 2012

Saida AF Tetap Beraya Dengan Anak-Anak


Ramadhan ini tentunya membawa erti buat semua insan bergelar ibu dan bapa. Berbuka puasa bersama anak-anak tentunya menjadi satu detik indah yang dinantikan bersama. Buat selebriti seperti Saida AF, Ramadhan ini menjadi masa untuk beliau meluangkan masa bersama anak-anak tercinta.

GUA berkesempatan menemui kakak kepada penyanyi nombor 1 negara, Dato’ Siti Nurhaliza ini ketika melawat Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Bukit Jalil kelmarin. Bercerita mengenai kisah peribadinya, umum mengetahui Saida telah pun berpisah dengan suaminya tahun lalu. GUA bertanyakan perkembangan kehidupan Saida bersama anak-anak.

“Saida akui Saida kena membahagikan masa dengan bijak antara keluarga dengan karier seni Saida. Selain berpersatuan, Saida memang ambil kesempatan Ramadhan ini untuk bersama anak-anak. Kadang-kadang, bekas suami Saida akan ambil anak-anak untuk luang masa bersamanya. Setakat ini semuanya berjalan dengan baik “, ujar Saida.

“Raya tahun ini insya-Allah Saida akan pulang beraya di Kuala Lipis bersama anak-anak. Saida juga baru lepas merakamkan sebuah single yang akan dilancarkan tak lama lagi berjudul Cinta Kayangan “, tambah Saida lagi.

Saida yang juga antara ahli jawatankuasa Persatuan Barisan Artis Nasional (BRAN) hadir bagi memberi sokongan terhadap aktiviti yang julung-julung kali diadakan oleh persatuan itu.

“Penglibatan rakan artis di dalam Bazar Ramadhan kali ini dilihat sebagai satu usaha yang baik. Selain menjadi tarikan pengunjung datang ke sini, ia menjadi satu platform untuk para rakan artis mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka dan juga peminat “.

“Projek ini adalah projek pertama anjuran BRAN. Di bawah seliaan saya dan Maya selaku Biro Acara, kami berusaha mengumpulkan seramai mana artis yang boleh untuk memeriahkan acara ini. Kalau ikutkan ramai lagi yang ingin terlibat tetapi disebabkan tempat yang terhad, maka ini sahaja yang dapat kami bawa. Saya berharap agar acara ini menjadi titik tolak kepada peranan BRAN untuk terus mengadakan aktiviti sebegini di masa hadapan “.

Mengakhiri perbualannya bersama GUA, Saida berterima kasih kepada semua peminat yang tidak henti-henti mendoakan kesejahteraannya. Saida juga mengalu-alukan kedatangan peminat untuk bertemu artis kesayangan mereka di Bazar Ramadhan Perkarangan Stadium Bukit Jalil sepanjang Ramadhan ini.

No comments:

Post a Comment