Tuesday, July 10, 2012

Bila darah mula tertumpah di Putrajaya, Ertinya?


Kejadian amuk di pintu masuk ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya petang semalam menyebabkan berlaku kematian apabila polis tidak ada ikhtiar lain untuk menghalang si pengamuk melainkan menembaknya, merupakan kejadian pertama seumpama itu berlaku di kompleks kerajaan Putrajaya. Kejadian berdarah itu seharusnya diambil iktibar oleh semua pihak dan perlu memastikan ia tidak akan berulang lagi.

Negara tidak memerlukan tindakan-tindakan agresif berani mati seperti itu. Kita semua kena waras dalam melakukan tindakan sehingga tidak mencatatkan sejarah malang buat negara dan bangsa. Dalam kejadian semalam tidak dapat disahkan siapa yang benar dan siapa terkhilaf? Sudah pasti ada pihak yang benar dan salah dalam kejadian itu. Sebabnya, kalau kedua-dua benar, ia tidak sampai senapang meletup dan darah tumpah di pintu masuk ke pejabat Perdana Menteri.

Cuma apa yang terus menyendap di dalam kepala saya sebaik membaca laporan mengenai kejadian itu, teringat kepada kata-kata dan ucapan Perdana Menteri Ha Najib Razak mengenai kesediaannya untuk mempertahankan Putrajaya ke titisan darah terakhir. Najib dalam satu kenyataan membalas tindakan dan usaha gigih pembangkang untuk merampas kuasa politik, menegaskan yang beliau (UBN) akan mempertahankan kekuasaan itu sehingga ke titisan darah terakhir. Satu kenyataan yang penuh emosi.

Ucapan Najib itu masih dalam konotasi politik. Tetapi dari sudut lain ia bersifat jenayah. Hal-hal atau unsur darah, tembak, bunuh dan sebagainya adalah unsur-unsur jenayah atau dikaitkan dengan perilaku jenayah. Apakah kata-kata Najib tempoh hari telah merangsang si pengamuk untuk bertindak demikian? Begitukah?

Makanya orang politik hendaklah menjaga mulut dan perasaan. Mereka perlu kawal kata-kata dan butir ucapan jangan sampai bersifat atau ada elemen jenayah kerana ia memberi reaksi kepada pihak lain. Perlu ingat yang menghidup manusia ini perasaan. Perasaan pula menguasai diri seseorang itu. Jika seseorang gagal mengawal perasaan maka berlakulah kejadian-kejadian yang di luar normal kehidupan seperti apa yang berlaku itu.


Mudah-mudahan di masa akan datang.. bermula hari ini, jangan ada sesiapa yang bermain dengan perasaan atau pun mengusik perasaan orang lain sewenang-wenangnya. Berpolitiklah dengan cermat dan waspada. Mungkin orang yang menyebut kata-kata jenayah tidak bermaksud sampai ke tahap seburuk itu dan ia hanya gurauan...atau ancaman, tetapi kena ingat orang yang mendengar dan menerimanya ada penilaian lain. Kata-kata yang tidak bijak itu boleh membenihkan dendam yang akhirnya berbuah kejahatan.

Atas peribadi saya menyeru kepada semua pihak hentikan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyentuh perasaan di antara satu sama lain. Juga hendaklah perbuatan jahat yang sampai mengganggu hak asasi seseorang dibatasi dan diawasi. Bertindak waras dan serderhanalah dalam apa juga bidang kerana itu adalah sebaik-baik tindakan. Tindakan melampau membahayakan semua orang dan boleh membakar negara.

Bila berlaku tragedi amuk di JPM dan ada kematian dan pembunuhan yang buruknya adalah negara kita juga. Kendati Tuhan boleh mentakdirkan apa saja yang Dia kehendaki kita diberi hak dan dituntut mendoakan agar takdir itu tersisih jauh dan tidak berlaku. Perlu kita menyedari di mana kita (berdiri dan mengambil timbang rasa) di antara kuasa hamba dan kuasa Tuhan dalam konteks ini.

No comments:

Post a Comment