Wednesday, July 25, 2012

Bazar Ramadan Artis Di Bukit Jalil Nite Walk Jadi Tumpuan


KUALA LUMPUR – Kemeriahan Perkampungan Ramadan Artis bersebelahan Bukit Jalil Nite Walk di sini menjadi tumpuan orang ramai yang bukan sahaja mahu mendapatkan juadah berbuka puasa tetapi juga bertemu selebriti pujaan masing-masing.

Program anjuran Barisan Artis Nasional (Bran) yang dipengerusikan oleh Datuk AC Mizal, bermula sejak 20 Julai lalu sehingga 19 Ogos dari pukul 4 petang hingga 8 malam.

Perkampungan itu merupakan cetusan idea artis yang mahukan kemeriahan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri disambut bersama peminat yang tidak mempunyai kampung halaman selain tinggal tetap di Kuala Lumpur.

Antara yang membuka gerai di situ ialah pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan yang menjual biskut raya berharga sekitar RM25 hingga RM35 setiap pek.

Katanya, biskut yang dibuat sendiri dijual menggunakan mentega sepenuhnya bagi menambah keenakan dan gebu.

“Saya jual 10 jenis biskut dengan paling laris ialah tat nenas, kacang, coklat rangup dan nestum,” katanya ketika ditemui kelmarin.


Pelakon drama, Ema Akma (gambar atas) pula menjual ayam percik menggunakan resipi campuran rempah ratus istimewa.

“Ayam percik yang saya jual rasanya sedikit manis dan pedas. Keenakannya terletak pada kuah yang dibuat sendiri tidak terlalu berwarna merah tetapi pekat.

“Setiap satu dijual pada harga RM3.50,” katanya.

Lain pula dengan penyanyi dan pelakon, Eida Moin yang memilih untuk membantu keluarganya menjual masakan popular mereka iaitu sotong kangkung, yong tau fu dan air soya.



“Ini merupakan perniagaan keluarga saya tetapi saya turun padang membantu kerana bila Ramadan, memang tidak menang tangan melayan pengunjung.

“Air soya kami juga berbeza kerana kami meletakkan ais yang dibalut plastik supaya rasa lemak soya kekal lama,” jelasnya.

Bintang Akademi Fantasia 4, Farhan pula menjual kira-kira 20 jenis biskut raya buatan sendiri.


“Saya minat buat biskut sejak kecil lagi. Saya akan mula membancuh adunan bermula lepas sahur sampai waktu berbuka,” katanya.

Katanya, antara jenis biskut yang dijual adalah coklat pizza, makmur Sabah dan mama carry pada harga RM25 hingga RM28.

Selebriti lain yang turut berniaga di situ ialah Salamiah Hassan, Watie Elite, Azza Elite, Muhammad Mentor, Ayu One In A Million, Maya Matahari dan Riot Kool.

No comments:

Post a Comment