Saturday, June 30, 2012

Zed Zaidi Sahkan Neelofa Setuju Jumpa Anzalna


Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, mengesahkan Neelofa telah pun memberi persetujuan untuk bersemuka dengan Anzalna Nasir bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang melanda mereka. Pengesahan Zed itu sekaligus menyangkal spekulasi yang mendakwa Neelofa menolak mentah-mentah cadangan pihak Seniman itu.

"Saya baru sahaja dapat SMS daripada Lofa. Dia sudah pun menyatakan persetujuan untuk bertemu dengan Anzalna. Bagaimanapun, Lofa ada nyatakan beberapa syarat untuk memungkinkan pertemuan itu. Saya tidak dapat dedahkan syarat-syarat itu kerana belum berbincang dengan Ahli Jawatankuasa Disiplin Seniman. Lagipun, saya belum betul-betul baca kiriman email yang turut dihantar oleh Lofa. Apa yang boleh saya katakan, satu sidang media akan diadakan dalam sedikit masa lagi," ujar Zed yang ditemui pada Khamis.

Dalam masa yang sama, Zed sekali lagi menegaskan penglibatan Seniman dalam konflik Lofa dan Anzalna adalah untuk menjaga reputasi golongan artis. Jelasnya, jika perkara itu diperbesarkan dan dibawa ke mahkamah, pasti konflik itu berpanjangan dan lebih banyak isu lain yang akan ditimbulkan.

"Kita mahu bantu mereka jernihkan keadaan. Kalau boleh biarlah konflik mereka diselesaikan di luar mahkamah. Kalau masuk mahkamah, konflik akan berpanjangan kepada ia pasti mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Bahkan, lebih banyak perkara lain akan didedahkan. Adalah lebih baik mereka mencari jalan untuk berdamai sahaja," ujar Zed.

Sementara itu, Neelofa dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita memberitahu, dia bersetuju menerima permohonan maaf Anzalna seandainya pelakon itu bersetuju menandatangani  sepucuk surat yang menyatakan persetujuannya terhadap beberapa syarat yang telah ditetapkan olehnya. Jelas Neelofa, syarat-syarat yang ditetapkan kepada Anzalna itu adalah sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa.

Konflik di antara Neelofa dan Anzalna tercetus ekoran daripada penerbitan artikel bertajuk 'Anzalna Bidas Neelofa' menerusi akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment