Tuesday, June 5, 2012

Sheera lebih menyerlah di layar skrin


JARANG meraih publisiti di majalah mahupun akhbar, bukan bermakna Sheera Iskandar ‘sepi’ di mata peminatnya. Pemilik nama sebenar Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 27, ini beruntung kerana wajahnya sering dilihat di kaca televisyen menerusi pelbagai drama.

Malah, Sheera mengakui, dirinya lebih menonjol sebagai pelakon drama walaupun pernah membintangi beberapa filem. “Jika diikutkan, saya terlebih dahulu diperkenalkan di layar perak menerusi filem pertama, Bicara Hati pada  2004.

“Tanpa disangka, selepas itu saya lebih banyak menerima tawaran berlakon drama dan saya anggap itu sebagai rezeki,” kata pelakon filem KL Gangster ini. Biarpun ramai pelakon menganggap standard filem lebih tinggi, bagi Sheera,  berlakon drama juga mempunyai kelebihan tersendiri.

“Apabila berlakon drama, lebih ramai yang mengenali kita kerana jumlah audiensnya yang lebih meluas berbanding filem. “Lebih menguntungkan, apabila drama itu berulang kali ditayangkan di kaca televisyen. Sedikit sebanyak, ia membantu mempromosi pelakon,” katanya yang terkenal dengan drama Gerak Khas dan Si Capik ini.

Ikut pesan mam a

Sudah menceburi bidang lakonan sejak usia empat tahun, Sheera mewarisi darah seni daripada ibunya yang juga pelakon veteran, Aznah Hamid. “Saya rasa hidup ini bagaikan kurang lengkap jika tidak berlakon. Saya  akan rindu untuk berlakon jika tiada penggambaran.

Lakonan Tomboy Sheera dalam filem 'Aku Bukan Tomboy'


“Sebab itulah, sesibuk mana pun saya dengan pelajaran saya akan terima juga tawaran berlakon,” katanya yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Malah, Sheera juga sentiasa mengikuti nasihat mama kesayangannya agar tidak terlalu memilih tawaran lakonan.

“Saya selalu ingat pesan mama, tidak kisah watak itu besar atau kecil, yang penting mampu memberi kesan kepada penonton. “Saya pun sudah melakonkan pelbagai watak, maka saya tidak terlalu memilih. Cuma, jika diberi peluang teringin juga membawa watak aksi,” luahnya.

Dalam perkembangan terbaru, Sheera baru saja selesai penggambaran drama Nikallya arahan Aidil Fitri Yunos yang akan bersiaran di TV Alhijrah, 12 Jun ini.

"Saya memegang watak sebagai wanita Pattani bernama Ida yang memerlukan saya bercakap dalam bahasa Kelantan.

"Agak mencabar juga kerana  walaupun saya lahir di Kelantan, tetapi saya jarang bercakap dalam bahasa itu. "Bagaimanapun, saya belajar sendiri dan turut mendapat bantuan daripada krew produksi yang mahir berbahasa Kelantan," katanya.   



No comments:

Post a Comment