Monday, June 4, 2012

Fasha dan Jejai Bersanding Bertiga (5 GAMBAR)


Ahad, 3 Jun 2012 telah berlangsung resepsi perkahwinan Fasha Sandha dan Rizal Ashram (Jejai) di kampung halaman pengantin perempuan, di Kangar, Perlis. Pasangan ini mengabadikan Tasoh Lake Resort & Retreat sebagai meraikan hari bahagia mereka. Dan difahamkan idea bagi mengadakan majlis tersebut dicetus oleh ibu Fasha sendiri.

Lebih indah, bukan Fasha dan Jejai saja yang bersanding berdua, tetapi ‘bertiga’ dengan kandungan yang kini sudah berusia lebih satu bulan dan aktres yang sedang hangat menerusi drama bersiri Seindah Sakura ni ternyata sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang kehidupan telah dilaluinya sekarang.

Majlis yang bermula pada jam 12 tengahari hingga jam empat petang itu telah berlangsung di hadapan tasik terbesar di negeri Perlis iaitu di Tasik Timah Tasoh. Pusat peranginan Tasoh Lake Resort & Retreat ini telah menjadi saksi penyatuan dua jiwa diantara Fasha Sandha dan Rizal Ashram.

Kedua mempelai yang dirai tiba di lokasi majlis resepsi pada kira-kira jam 1.45 tengah hari seperti mana yang dijadualkan. Mereka menaiki van mewah berwarna hitam dan diiringi oleh perarakan kereta mini yang menjadi tarikan kepada rombongan tersebut. Kedua mempelai yang menginap di sebuah hotel di Kangar telah diarak sejauh 35 kilometer untuk sampai ke Tasoh Lake Resort & Retreat. Mempelai telah disambut dengan tarian terkenal negeri Perlis iaitu Canggung dan Tari Tualang Tiga.



Bertemakan persandingan dalam taman menjadi pilihan Fasha Sandha, majlis berkonsep terbuka ni meriah dengan kehadiran lebih kurang 800 hadirin yang terdiri daripada keluarga, sahabat handai, para peminat serta pihak media. Turut hadir memeriahkan majlis, bekas menteri besar Perlis iaitu Dato’ Seri Shahidan Kassim dan beberapa orang kenamaan lain.

Pada majlis tersebut Fasha anggun berseri-seri mengenakan busana kebaya moden rona keemasan hasil sentuhan pereka fesyen Rizman Ruzaini yang dilihat sedondon dengan Jejai yang segak lengkap bertanjak dan tengkolok. Majlis pada hari tersebut telah diacarakan oleh pengacara popular Fiza Sab Jahan. Selepas majlis menepung tawar dan merenjis dilakukan pengantin melangkah segak ke meja beradap untuk makan beradap.

Sepatutnya Fasha mempunyai sepasang lagi persalinan bagi upacara memotong kek, namun gaun mewah itu tidak dipakai. Mungkin kerana cuaca yang panas dan kawasan membuatkan dia hanya memperagakan sepasang sahaja busana pada petang tersebut. Fasha yang dikenali dengan sikapnya yang sangat mementingkan masa itu memegang janjinya apabila tepat jam empat petang dia sudah melangkah untuk meninggalkan majlis tersebut.



Fasha dan Jejai telah selamat di ijabkabulkan pada 27 April lalu di sebuah majlis tertutup di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. Selang dua minggu kemudian aktres jelita ini berkongsi berita gembira bersama peminatnya menerusi laman sosial twitter miliknya, mengkhabar, dia disahkan hamil.

No comments:

Post a Comment