Thursday, June 21, 2012

Artis Veteran Dapat RM5,000 Sumbangan Syarikat Korporat


Pengarah urusan Limpahan Setia Sdn Bhd, Siti Azawani Abu Bakar (kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM5,000 kepada Datuk Yahya Sulong.

KUALA LUMPUR: Seramai empat orang artis veteran telah menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM5,000 setiap seorang daripada syarikat Limpahan Setia Sdn Bhd bagi meringankan beban mereka yang mengalami masalah kesihatan.

Pengarah urusannya, Siti Azawani Abu Bakar berkata, pihaknya terpanggil untuk memberikan sumbangan itu kepada pelakon Azean Irdawaty, Latifah Omar, Datuk Yahya Sulong dan Karim Latif selepas kejayaan syarikat itu mencatat penjualan menguntungkan menerusi penghasilan produk kecantikan wanita, Premier V3.

"Artis-artis ini adalah golongan yang banyak berjasa kepada masyarakat melalui medium hiburan seperti lakonan serta nyanyian dan kami memandang berat terhadap masalah yang menimpa mereka.

"Walaupun sumbangan itu tidak seberapa tetapi ia diharap dapat meringankan beban mereka yang mengalami pelbagai masalah kesihatan," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Amal Seni Premier V3 di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, pada acara tersebut, Azean dan Latifah tidak dapat menghadirkan diri kerana mengalami masalah kesihatan dan mereka diwakili oleh ahli keluarga masing-masing.

Pelakon yang pernah membintangi filem Anak Bapak, Karim Latif turut menerima sumbangan.

Dalam pada itu, Yahya dan Karim ketika ditemui media melahirkan rasa syukur dan terharu dengan pemberian sumbangan itu dan ia akan digunakan sebaik-baiknya.


Pelakon yang pernah membintangi filem Anak Bapak, Karim Latif turut menerima sumbangan.
Yahya yang mengalami masalah pernafasan kronik memberitahu beliau akan menggunakan wang berkenaan bagi membiayai bil perubatannya di hospital.

"Syukur Alhamdulilah masih ada pihak yang prihatin terhadap insan seni seperti saya dan tiada ada apa yang boleh saya katakan selain terima kasih kepada pihak penganjur," ujarnya.

Manakala Karim yang pernah popular menerusi filem Ahmad Albab dan Anak Bapak menjelaskan, dia tidak menyangka masih ada pihak yang mengenali dirinya sekali gus memberikan bantuan bagi meringankan beban.

Sementara itu, artis veteran lain seperti Norlia Ghani, Sofia Ibrahim dan adiknya, Datuk Khadijah Ibrahim turut hadir bagi memeriahkan majlis.

Selain artis veteran, pelapis baru yang turut hadir antaranya Shila Amzah, Tomok, Sharifah Zarina, kumpulan One Nation Emcee, Aida Khalida dan Almy Nadia.

No comments:

Post a Comment