Thursday, June 21, 2012

Anzalna Ikut Nasihat Seniman Tak Layan Neelofa


Notis tuntutan Neelofa yang meminta Anzalna memberi penjelasan dan bukti terhadap semua kenyataannya di dalam artikel bertajuk ‘Anzalna Bidas Neelofa’ pada 10 Jun 2012 lalu sepatutnya berakhir pada hari ini. Namun, GUA difahamkan finalis Dewi Remaja 2010 itu masih tidak mengambil sebarang langkah kerana mengikut nasihat Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Ketika dihubungi oleh GUA sebentar tadi, Anzalna mengesahkan dia masih tidak mengambil sebarang langkah kerana dinasihatkan oleh pihak Seniman supaya menyerahkan perkara untuk diselesaikan oleh pihak Seniman.

"Buat masa sekarang saya tidak dapat memberi maklum balas terhadap tuntutan itu. Ini kerana Zed Zaidi telah mengarahkan supaya saya tidak berbuat apa-apa kerana pihak Seniman akan masuk campur. Ketika dihubungi oleh Zed Zaidi sebelum ini dia beberapa kali ingatkan saya supaya bersabar memandangkan pihaknya sedang mengatur pertemuan di antara kami berdua. Saya difahamkan Neelofa masih belum memberi maklum balas terhadap cadangan Seniman itu. Jadi, saya masih menanti keputusan daripada Seniman,” ujar Anzalna.

Persoalannnya, tidakkah Anzalna bimbang Neelofa dan peguam lantikannya akan meneruskan tindakan saman terhadap dirinya? Ini kerana notis tuntutan itu hanya memberi masa selama tujuh hari untuknya memberi penjelasan berserta bukti.

“Macam yang saya katakan tadi, saya tidak boleh ulas lanjut. Perkara ini telah membabitkan pihak peguam. Jadi biar peguam masing-masing jalankan tugas mereka. Seperkara lagi, saya hanya mendapat notis tuntutan itu selepas empat hari Neelofa mengadakan sidang media,” ujar Anzalna lagi.

Dalam masa yang sama, Anzalna turut memaklumkan penulis artikel terbabit ada menghubunginya selepas kes ini menjadi perhatian ramai. Menurut pelakon ini, penulis terbabit tidak mempertikai atau menyalahkannya walaupun sebelum ini mengaku kenyataan itu dikeluarkan tanpa persetujuannya.

“Penulis itu ada menghubungi saya selepas perkara ini menjadi kecoh. Walaupun saya ada keluarkan kenyataan yang artikel itu ditulis tanpa persetujuan saya, tetapi dia tidak menyalahkan saya. Malah, dia memberitahu akan terus menyokong saya walau apa pun situasinya.”

No comments:

Post a Comment