PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik mengakui tidak akan mempertahankan jawatannya sekarang pada pemilihan ahli jawatankuasa penggal baru ketika Mesyuarat Agung Seniman, 26 Mei ini.
Bagaimanapun, Harun menegaskan keputusan dibuat itu, bukan kerana perseteruannya dengan Pemangku Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi atau desakan dari mana-mana pihak.
Like Us on Facebook :
“Apa yang pasti, saya berundur secara terhormat dan saya tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan akan datang. Saya juga tidak akan mempertahankan jawatan saya sekarang.
“Bagaimanapun, keputusan ini diambil bukan kerana saya tidak mempunyai persefahaman dengan Zed seperti yang diperkatakan sesetengah pihak. Hubungan kami masih baik, cuma sebelum ini ada sedikit salah faham kerana masalah komunikasi.
“Cuma sukar untuk saya bahagikan masa kepada dua komitmen dalam satu masa. Jadi, baik saya serahkan tanggungjawab kepada orang yang lebih mampu menggalasnya. Namun, saya masih lagi ahli Seniman dan tetap akan menyokong perjuangan Seniman selepas ini,” katanya yang ditemui baru-baru ini.
Menyentuh tentang individu yang tepat untuk memegang jawatan presiden selepas ini, Harun berkata, Zed mempunyai potensi besar dalam merebut jawatan itu lebih-lebih lagi apabila Zed cukup bersemangat dalam hal mendapatkan hak artis-artis tempatan ketika dia sedang sibuk.
“Setakat ini apa yang saya nampak, Zed memiliki potensi menjawat jawatan Presiden Seniman kerana dia begitu berkobar-kobar membantu hak-hak artis tempatan. Lagi pula, dia masih muda dan tentu mampu mengemudi persatuan ini kelak,” katanya.
Harun dipilih sebagai Presiden Seniman pada 18 Disember 2010 setelah menang tipis sebanyak 78 undian berbanding Datuk Mustapha Maarof yang mendapat 74 undian pada pemilihan berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Finas, Hulu Klang.
Rezeki makin murah
Sementara itu, menyentuh perkembangan terkininya, Harun mengakui selepas memenangi tempat kedua Maharaja Lawak Mega tahun lalu, rezekinya semakin murah.
“Selepas lebih 25 tahun berkecimpung dalam industri seni, barulah tahun ini saya rasa lebih senang dan rezeki semakin murah.
“Sebelum ini, memang ada naik turunnya dan bukan senang bagi saya kekalkan nama dalam industri untuk tempoh suku abad ini,” katanya.
Harun berkata, selain memenuhi tawaran berlakon, dia juga turut memenuhi beberapa komitmen lain seperti menjadi pengulas rancangan Super Spontan dan juga beberapa program persembahan pentas.
No comments:
Post a Comment