Wednesday, May 16, 2012

Perkhemahan Rakyat Depan Rumah Ambiga 26 Mei ini


Satu perkhemahan rakyat akan diadakan pada 26 Mei di hadapan rumah Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga di Bukit Damansara sebagai tanda bantahan terhadap keganasan yang berlaku sewaktu perhimpunan haram tersebut berlangsung tempohari.

Menurut jurucakap penganjur yang hanya mahu dikenali sebagai Zaman, perkhemahan itu akan diadakan mulai pukul 9 pagi di atas jalan raya di hadapan rumah pemimpin itu melibatkan sebanyak 100 buah khemah.

"Perkhemahan ini akan disertai oleh mereka yang terjejas pendapatan akibat rusuhan Bersih 3.0 seperti peniaga, pemandu teksi dan mereka yang tinggal berhampiran Dataran Merdeka"

"Kami juga ingin menjemput semua rakyat yang cintakan keamanan untuk hadir bagi memberikan mesej yang jelas kepada Ambiga tentang rasa tidak puashati rakyat kepada beliau" katanya.

Menurut Zaman, pihaknya yakin perkhemahan itu tidak akan diganggu oleh polis dan pihak berkuasa tempatan kerana ia adalah perhimpunan aman.


"’Kami berjanji tidak akan memukul polis atau memanggil mereka anjing atau babi seperti yang dilakukan oleh peserta Bersih 3.0. Kami juga berjanji tidak akan merosakkan kereta atau motorsikal penduduk"

"Cuma kami akan tunjuk cara duduk dan bantah yang betul iaitu duduk secara aman dan menjerit secara sopan tanpa perlu memaki hamun sesiapapun."

Ditanya bukankah perkhemahan itu nanti akan menganggu ganggu lintas di kawasan sekitar rumah Ambiga, Zaman menjelaskan jalan raya adalah hak semua rakyat seperti mana yang diperkatakan oleh Ambiga dan ia boleh digunakan untuk apa sahaja tujuan.

"Kalau jiran nak marah, kita minta mereka telefon Ambiga. Kami yakin Ambiga boleh jelaskan hak kami berhimpun di atas jalan raya seperti mana yang beliau terangkan tentang hak mereka berhimpun di sekitar Dataran Merdeka meskipun tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa"

Dalam pada itu, Zaman memberitahu sehingga kini lebih 200 orang telah mengesahkan untuk mengambil bahagian dalam perkhemahan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan berapa lama perkhemahan itu akan berlangsung.

"Kami serahkan kepada peserta untuk buat keputusan. Selaku penganjur kami akan sediakan makanan, khemah dan tandas bergerak untuk kemudahan peserta"

"Kami juga akan memastikan adegan menjolok mata seperti yang dilakukan oleh pelajar yang membantah PTPTN di Dataran Merdeka tempohari tidak berlaku di sini"

"Jika perkhemahan ini berjaya, kami akan buat di  hadapan rumah Datuk  A. Samad Said pula kerana beliau adalah penganjur bersama Bersih 3.0"

No comments:

Post a Comment