Tuesday, May 1, 2012

Almy Nadia menyepi kerana ambil anak angkat


Almy bersama anak angkatnya, Nur Afrina Darwisya yang kini berusia 3 tahun. Foto Ihsan Almy Nadia.

LEBIH setahun menyepikan diri daripada menghadiri sebarang majlis hiburan, bukanlah bermakna Almy Nadia sudah mengakhiri kariernya sebagai pelakon.

Biarpun agak kurang publisiti di media, aktres cantik ini masih tidak putus-putus menerima tawaran lakonan yang menjadi sumber rezekinya.

“Lebih setahun saya tidak menghadiri majlis hiburan, namun ia bukanlah titik noktah saya sebagai anak seni. Sebelum ini, saya memang sibuk dengan urusan keluarga yang harus diselesaikan.

“Alhamdulillah, rezeki dalam bidang lakonan tidak pernah putus. Kadang kala, saya harus memilih untuk mengelakkan daripada kepadatan jadual sehingga menyusahkan diri sendiri dan orang lain,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran, Wanita Inspirasiku, di Sri Pentas.

Terbaru, kemunculannya sebagai teraju utama dalam drama bersiri, Cinta Buat Emelda memberi petanda bahawa dirinya masih lagi aktif dalam dunia lakonan.

Bergandingan dengan pelakon kacak, Fizo Omar, penangan drama tersebut berjaya menaikkan semula nama Almy yang agak suram sebelum ini.

Setahun menghilang daripada khalayak, Almy membuat kemunculan di Majlis Pelancaran Wanita Inspirasi TV3 di Full House Kota Damansara di sini pada Khamis. Gambar Ihsan TV3
Mengakui hal tersebut, Almy gembira lakonannya dalam drama arahan Bob Hashim ini memberi kesan kepada penonton.

“Kemunculan saya buat sekian lamanya melalui drama ini diharapkan memberi sinar baru buat saya. Bukan hanya menjadi pelakon yang disegani malah menjadi insan yang lebih baik dan disenangi orang.

“Saya akui lakonan dalam drama ini sedikit sebanyak membantu saya untuk meningkatkan lagi kualiti lakonan seterusnya dapat menawan hati penonton dan peminat yang masih setia menyokong perjalanan karier saya ini,” katanya.

Drama bersiri yang diadaptasi daripada novel, Kasih Antara Kita itu, mula bersiaran pada 26 Mac lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

Menerusi drama itu, Almy memegang watak sebagai Emelda dan Emilia, pasangan kembar seiras dan berganding bersama pelakon, Fizo Omar sebagai Aril Fatah.

Antara pelakon yang turut menjayakan drama ini, Miasara Nasuha, Erry Putra, Rebecca Nur Al-Islam, Amran Ismail, Mustapha Kamal dan Diana Amir.

Kurangkan kemunculan bersama

Selain kisah karier, hubungan cinta di antara Almy dan Pelakon Drama Lelaki Popular 2011, Fizz Fairuz turut menjadi perhatian peminat.

Apatah lagi, sebelum ini, mereka sering dilihat bersama ketika menghadiri sebarang majlis hiburan.

Namun, sejak akhir-akhir ini hubungan itu bagaikan sudah tidak seteguh dulu, ditambah pula dengan desas-desus yang mengatakan hubungan mereka hampir menemui jalan buntu.

Tidak melatah dengan khabar angin itu, Almy menyatakan bahawa hubungan mereka masih berlanjutan sehingga kini.

Kata pelakon rancangan lawak, Edisi Khas ini, mereka sepakat mengurangkan kemunculan bersama secara terbuka atas beberapa sebab yang ingin dielakkan.

“Kami dah berbincang dan bersetuju mengurangkan kemunculan. Kami lakukan semua ini bersebab dan tidak mahu kisah cinta kami disensasikan lagi oleh masyarakat dan juga media.

“Hubungan kami masih seperti biasa dan tidak pernah ada kata putus. Sebelum ini, banyak sangat spekulasi dan tohmahan yang dibuat mengenai hubungan kami. Jadi, saya tidak mahu kenyataan itu menjadi ‘doa’ untuk kami.

“Jadi, inilah keputusan kami buat. Saya tidak mahu jadi lebih terbuka berkongsi kisah peribadi. Cukuplah sekadar masyarakat tahu, kami masih bersama. Soal jodoh, semuanya ketentuan Tuhan. Kami hanya berserah,” katanya yang ingin memberi tumpuan kepada kerjaya dan kehidupannya.

Ambil anak angkat

Selain sibuk menguruskan keluarga dan juga karier, dalam diam-diam, Almy turut mempunyai seorang anak angkat yang kini sudah mencecah usia tiga tahun.

Menganggap si anak, Nur Afrina Darwisya, sebagai kekuatan dan semangatnya untuk meneruskan kehidupan, Almy mengakui kehadiran cahaya mata itu adalah sinar baru dalam hidupnya.

“Saya ambil dia daripada saudara saya sejak dia masih kecil lagi. Dalam tempoh setahun lebih saya tidak muncul adalah disebabkan dia. Pelbagai perkara harus saya selesaikan termasuklah mendaftarkannya sebagai anak angkat secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga surat beranak untuknya.

“Kini, saya dalam usaha untuk mendapatkan hak penjagaan kekal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sekarang, dia di bawah jagaan ibu saya di Pulau Pinang.

“Saya sangat sayangkan dia kerana dia penguat semangat saya dalam hidup. Sepanjang bersamanya, saya memang seronok melihat telatahnya. Walaupun dia hanya anak angkat saya, saya sudah menganggapnya seperti anak sendiri,” akhirinya.

No comments:

Post a Comment