Thursday, April 19, 2012

Pendengar Hotfm kecewa, Usop Wilcha dikekalkan


TIDAK sampai setahun, ada kata-kata ‘nakal’ yang mengatakan Shy8 bakal meninggalkan kerjaya sebagai penyampai di Hot FM. Malah kenyataan itu dikuatkan lagi dengan jawapan Shy8 sendiri di sebuah portal hiburan yang kononnya mengakui bakal meninggalkan stesen radio yang terkenal dengan tagline Lebih Hangat Dari Biasa itu.

Bertemu dengan Shy8 baru-baru ini sewaktu penggambaran filem terbarunya, KL Zombie, dia memberitahu tidak pernah bercadang meninggalkan kerjaya sebagai penyampai buat masa ini. Malah menurut Shy8, terdapat salah faham dalam laporan yang disiarkan portal tersebut mengenai niatnya itu.

“Apa yang cuba disampaikan mungkin saya akan meninggalkan kerjaya ini suatu hari nanti, namun bukan sekarang.

“Mungkin apa yang berlaku pada waktu diwawancara itu, saya masih lagi berada dalam keadaan letih, mungkin jawapan yang diberikan waktu itu secara tidak sengaja disalah faham oleh wartawan terbabit.

“Buat masa ini saya masih lagi bersama Hot FM untuk segmen pagi sebagai krew Hot FM AM Krew,” katanya ketika di temui di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mengakui langsung tidak mempunyai masalah dengan pihak pengurusan, menurut Shy8, kontraknya bersama stesen radio itu juga masih berbaki 14 bulan.

Para DJ 'AM Krew' yang masih dikekalkan
“Hubungan saya dengan pihak pengurusan juga tidak mempunyai masalah. Jadi tiada sebab untuk saya meninggalkan stesen radio tersebut,” katanya.

Shy8 berkata, memang pada dasarnya kehadirannya dalam segmen tersebut agak kurang menyerlah. Namun katanya, itu merupakan antara perkara yang dipersetujui dia dan pihak Hot FM sendiri.

“Pihak Hot FM sendiri mengetahui peranan utama saya sebelum bergelar penyampai adalah seorang pelakon, jadi mereka tidak terlalu mengharapkan saya untuk menonjol sebagai penyampai pada segmen pagi bersama tiga lagi penyampai iaitu Fafau, FBI dan AG.

“Bagaimanapun dalam menyeimbangkan peranan saya dalam organisasi ini, saya akan terlibat dalam memberikan idea serta memberikan cadangan untuk segmen ini untuk mencari kelainan,” katanya.

Tidak menolak untuk diberi peluang agar dia lebih menonjol, Shy8 percaya jika diberi segmen kelolaannya sendiri, sudah pasti peranannya sebagai penyampai akan lebih diberi perhatian.

“Mungkin jika Usop Wilcha mempunyai satu segmen khas, peranannya sebagai seorang penyampai radio akan lebih menonjol.

“Bagaimanapun buat masa ini segmen khas itu masih lagi dalam perbincangan. Pada pendapat saya sendiri, Usop Wilcha belum memerlukan segmen sendiri buat masa ini,” jelasnya.

Sementara itu Shy8 yang bakal kembali ke set penggambaran untuk filem terbarunya, Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh tidak lama lagi sudahpun selesai menjalani penggambaran tiga filem, masing-masing Doktor K Kahwin Lima terbitan KRU Studios, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, arahan Mamat Khalid dan terbaru, KL Zombie arahan M.J Woo.

No comments:

Post a Comment