Thursday, April 26, 2012

Juara Showdown 2012 Dapat RM50,000, ke Jerman


Program Realiti TV Terbaik, Anugerah Sri Angkasa 2010, Showdown,  kini kembali menghangatkan malam Rabu anda. Kali ini Showdown 2012 menjanjikan hadiah cukup lumayan. Juara akan membawa pulang wang tunai RM50,000 serta menyertai bengkel 'The Urban Dance Camp' di Lorrach, Jerman.

Bermula 2 Mei ini kesemua 12 krew terpilih akan membuat persembahan secara langsung dan di sinilah bermulanya proses penyingkiran mingguan sehingga ke peringkat akhir 'The Final Showdown'. Masih mengekalkan format yang sama, setiap krew memerlukan undian penonton untuk meneruskan perjuangan. Empat krew yang meraih undian terendah akan memasuki pusingan 'Battle' dan pihak juri akan menyingkirkan krew yang tertewas.

Menurut Penolong Penerbit Showdown, Ganesh V, tahun ini pihak produksi menjangkakan saingan lebih sengit kerana setiap krew yang terpilih cukup berbakat dan serba boleh.

"Tahun ini krew yang terpilih sangat bagus-bagus, jadi saingan pasti lebih sengit. Kita masih kekalkan format yang sama, tetapi tugasan yang diberikan lebih susah berbanding musim kedua dahulu.

Selain itu, kita juga menjanjikan beberapa kejutan bagi mengajak penonton untuk terus bersama Showdown 2012. Salah satunya ialah kita akan menjemput juri undangan dari luar negara seperti Marcus Tucker dan Shay Norman dari Amerika Syarikat," ulas Ganesh.

Dalam masa yang sama, Ganesh juga memberitahu tahun ini semua krew dinasihatkan supaya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini seperti insiden pergaduhan di pusingan 'Battle' tahun lalu. Seandainya perkara itu berlaku lagi, krew terlibat akan disingkirkan serta-merta, tanpa kompromi," ujar Ganesh.

Tahun ini Showdown 2012 juga memperluaskan pengaruh dalam medium alternatif dengan mengadakan ujibakat secara 'online'. Turut diadakan pencarian pengacara untuk mengendalikan kandungan- kandungan 'online' yang memuatkan info-info terkini, gosip, klip-klip eksklusif di belakang tabir dan banyak lagi.

Jadi, jangan lupa temujanji anda bersama Showdown 2012, pada setiap Rabu, jam 9.30 malam. Program yang akan bersiaran dari KL Live ini masih mengekalkan Hafiz Hatim sebagai pengacara. Joe Flizzow dan Maple Loo bertindak sebagai juri tetap.

Berikut adalah 12 krew yang berjaya memasuki pusingan seterusnya :

1) Dem Lepak Boyz (DLB)
2) D'vol Blacky Wacky (DBW)
3) E.G.S Monster (EGS)
4) Inversion (IVS)
5) Kitta Move (KM)
6) Project Elementz (PEZ)
7) Soulgang (SG)
8) Soul Krazy (SK)
9) Syko Breakerz (SBC)
10) The Hype (HYP)
11) Walawei (WLW)
12) We Taking Over (WTO)

Untuk mengundi krew kegemaran, taip SD <jarak> KOD KREW dan hantar ke 33399.

No comments:

Post a Comment