Saturday, April 28, 2012

Fasha, Jejai lalui saat indah dua hati bersatu


Setelah mengharungi episod cinta yang sentiasa dihambat kontroversi, akhirnya pasangan dua sejoli ini disatukan dalam majlis serba sederhana. Perkenalan selama tujuh tahun itu tidak sia-sia kerana cinta mereka begitu kuat walaupun sering diuji. Turut mengharapkan perkahwinan ini sebagai penamat kisah kontroversi mereka, baik Fasha mahupun Jejai, mereka mengimpikan alam rumah tangga yang bahagia hingga ke akhirnya...

Kalau dah jodoh, tak ke mana jua. Itulah ungkapan yang paling sesuai ditujukan buat pasangan pengantin baru, Fasha Sandha dan Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Setelah melalui pelbagai kontroversi dan kisah-kisah kurang enak, akhirnya pemenang Pelakon Drama Wanita Popular 2011, sah bergelar isteri kepada Jejai yang merupakan bekas suami pelakon popular, Nora Danish.

Tiada apa diharapkan pemilik nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan, 28, selain daripada ikatan yang kekal hingga ke akhir hayat bersama cinta hati pilihannya.

Mengakui Jejai adalah lelaki dambaan yang memenuhi setiap karakter idamannya, Fasha menyifatkan Jejai seorang yang penyayang, matang dan boleh menjadi pemimpin yang baik.

“Di awal perkenalan, kami hanya berkawan biasa dan hubungan ini dibina dari peringkat ke peringkat. Dalam tempoh masa yang panjang, kami banyak berkongsi minat dan persamaan.


“Dia seorang lelaki yang baik, pendengar setia dan mampu memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk terus berjaya.

“Ketika saya mula serius dalam bidang perniagaannya salun kecantikan, Chinta Salon, dialah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Selain itu, dia menerima apa jua kelemahan dan kekurangan saya,” katanya selepas majlis akad nikah yang berlangsung di Windows On KL, Hotel Crown Plaza, Jumaat lalu.

Majlis diadakan secara tertutup itu dihadiri 300 tetamu daripada keluarga terdekat.

Enggan mendedahkan nilai hantaran, Fasha menerima mas kahwin sebanyak RM8,888.88. Akad nikah mereka telah dikendalikan oleh bapa Fasha sendiri, Hassan Moiddeen, pada jam 9.45 malam.

Pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada beg Louis Vutton, alat solek, Galaxy Note, sebentuk cincin dan coklat manakala pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang.

No comments:

Post a Comment