Friday, March 2, 2012

Jangan Samakan MAX 24:7 Dengan K-Pop (3 GAMBAR)


Max 24:7 menjelaskan mereka bukan sebuah kumpulan Kpop sebaliknya membawa genre Mpop.

PETALING JAYA: Kumpulan Max 24:7 menjelaskan mereka tidak pernah memperjuangkan genre K-pop sebaliknya membawa irama M-pop iaitu Malaysia Pop yang lebih sesuai dengan selera muzik tempatan.

Salah seorang anggota kumpulan itu, Mohd Nor Azizi Zakaria atau Kim berkata, tanggapan itu terus dibuat oleh masyarakat mungkin kerana mereka tampil bersama 10 orang ahli dengan imej seakan-akan kumpulan muzik dari Korea.

"Orang mungkin keliru kerana kami tampil dengan imej dan ahli yang ramai sehingga terus membuat kesimpulan itu walaupun sebenarnya kami memperjuangkan genre M-pop," ujarnya kepada mStar Online.

Max 24:7 dianggotai oleh Mohd Amirul Aizad (Mierul), 19, Arieff Ashraf Bukhari (A'ar), 21, Ahmad Afifi Abu Kassim (Fifi), 21, Muhammad Haikal Alias (Eykal), 19, Imtiaz Fahmi Ismail (Imtiaz), 20, Mohd Nor Azizi Zakaria (Kim), 25, Omar Bahrain Ahmad (OB), 23, Herman Midin (Virgo), 23, Muhammad Gusman Nasir (Jaq) 20, dan Muhammad Hanis Rahim (Hans), 22.

Dalam pada itu, Kim memberitahu mereka ingin dikenali sebagai sebuah kumpulan M-pop yang serba boleh dalam menyampaikan pelbagai genre lagu selain tidak mahu dibandingkan dengan kumpulan lain.

Maz 24:7 bersama Aesar Mustafa yang menguruskan dan menerbitkan album mereka
Kim menambah, mereka mempunyai matlamat dan wawasan tersendiri dalam memastikan mereka diterima dan kekal di hati peminat-peminat muzik tempatan.

Dalam perkembangan lain, Max 24:7 mewujudkan sistem penggiliran di kalangan mereka yang bertindak sebagai ketua bagi memastikan aktiviti kumpulan itu berjalan lancar.

Kata Kim, sistem itu diadakan untuk memberi peluang kepada semua anggota memikul beban sebagai ketua selain belajar mengenai pengurusan dan sekali gus dapat menaikkan keyakinan diri masing-masing.

"Setiap bulan Max 24:7 akan bertukar ketua dan memberi peluang sama rata kepada semua untuk memikul tanggungjawab supaya tidak akan ada seorang pun rasa tersisih.

"Sistem ini juga dapat merapatkan hubungan kami sebagai sebuah kumpulan," ujarnya.

Tambahnya, mereka juga akan berlatih setiap malam dari pukul 10 malam hingga 2 pagi bagi memastikan persembahan mereka mantap di atas pentas.


"Latihan ini adalah cukup penting buat kami kerana ingin memberikan persembahan terbaik kepada penonton selain menaikkan stamina kami sebagai sebuah kumpulan," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terbaru kumpulan itu, Kim memberitahu mereka sedang giat mempromosikan album pertama yang memuatkan lima buah lagu termasuk lagu Gadis dan Bunga sebuah lagu lama yang dirakamkan semula.

Tambahnya, mereka juga sedang giat mempromosikan lagu terbaru berjudul Biar Putus Sementara yang turut menampilkan pengurus dan penerbit album itu, Aesar Mustafa.

"Kami juga bercadang untuk merakamkan semula sebuah lagu dendangan Datuk Siti Nurhaliza iaitu Cindai untuk album terbaru ekoran penerimaan yang baik terhadap lagu Gadis dan Bunga," ujarnya.

Selain itu, Kim berkata, mereka juga turut dilantik sebagai Duta Belia Dadah untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain turut menyanyikan lagu tema untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

  
Lagi Berita

No comments:

Post a Comment