Monday, March 5, 2012

Ahmad Idham Bidas Khairi Jamaluddin Tentang 'Hantu Bonceng'


PETALING JAYA: Pengarah filem Ahmad Idham enggan melayan komen dan persepsi negatif segelintir pihak yang mengecamnya kerana dianggap tidak boleh menerima pandangan ahli politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) mengenai filem arahannya, Hantu Bonceng.

Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau itu mengemas kini status akaun Twitternya selepas malam gala filem Bunohan pada minggu lalu, sebagai berkata:

“Bunohan adalah filem yang cemerlang. Metafora yang mendalam, dialog hebat dan sinematografi ulung. Sama sekali bukan genre seperti Hantu Bonceng. (Bunohan) mengangkat seni perfileman Malaysia.”

Ahmad Idham berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai isu terbaru ini kerana bimbang isu yang berkaitan dengan politik ini akan terus diputar belit dan disalah ertikan oleh khalayak umum.

“Saya sudah jangka, apabila ia melibatkan politik, pasti akan jadi lain dan mengundang pelbagai persepsi. Setiap perkataan yang dikeluarkan ahli politik sememangnya meninggalkan impak dan persepsi kepada khalayak.

“Saya tidak mahu melayan persepsi khalayak yang tidak memahami keadaan sebenar dan sebab di sebalik tindakan saya mempersoalkan teguran KJ dalam Twitter,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

No comments:

Post a Comment