SETELAH agak lama tidak menghiburkan peminat setia di pentas besar, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mengidamkan konsert mega seperti pernah dijayakannya kira-kira 11 tahun lalu.
Konsert Mega Siti Nurhaliza, Bukit Jalil 2001 menjadi titik tolak perkembangan karier seninya sehingga kini dan pengalaman itu yang ingin diulangi olehnya pada tahun ini.
“Siti menginginkan konsert besar seperti yang pernah Siti lakukan dulu, tahun ini, insya-Allah. Walaupun tidak dapat mengadakan konsert mega, akan ada satu konsert untuk peminat.
“Siti nak buat kemunculan semula seperti zaman sebelum kahwin, tetapi memandangkan dalam masa terdekat ini ada pilihan raya, jadi konsert itu mungkin akan diadakan selepas itu,” katanya selepas melancarkan produk terbaru SimplySiti, Dermagic.
Ketika yang sama, usahawan kosmetik dan penjagaan kulit ini tidak sekali-kali mengabaikan perniagaannya, bahkan akan mengeluarkan produk minyak wangi sendiri pada April.
“Produk kecantikan Siti sudah dua tahun di pasaran dan dengan kemunculan Dermagic ini akan memberi lebih kepuasan kepada pengguna. Produk kecantikan diri ini akan terus Siti terokai bagi menambah atau membuat pembaharuan pada produk akan datang.
“Buat masa sekarang Siti belum terfikir nak terokai bidang lain kerana minat Siti lebih terarah kepada kecantikan. Kami di syarikat ini juga sedang berusaha untuk membawa masuk produk ke pasaran Indonesia selepas Brunei,” katanya yang menjadi pengusaha produk tempatan pertama menggunakan Plant Endorphin dalam kosmetik.
Selain produk sedia ada yang lebih memfokuskan kepada golongan wanita, Siti juga berhasrat menghasilkan produk penjagaan kulit untuk lelaki pada masa depan.
No comments:
Post a Comment