Wednesday, February 1, 2012

'Chef Cilik' Satukan Ibu Dan Anak (GAMBAR)

Vanidah Imran ditugaskan sebagai pengacara Chef Cilik.
PETALING JAYA: Sebuah program memasak realiti terbaru berjudul Dumex Chef Cilik Komplete Nutri bakal menyaksikan 27 pasukan yang menggandingan ibu dan anak bertarung bagi merebut hadiah wang tunai sebanyak RM45,000.

Menurut Pengarah Urusan Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd, Toni Brendish, pertandingan itu bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menyajikan pendidikan dan informasi mengenai pemakanan sihat.

"Program ini diadakan selaras dengan usaha jenama Dumex dalam menyediakan pemakanan sihat untuk kanak-kanak di Malaysia.

"Selain itu kami mahu menggalakkan rakyat Malaysia supaya mengamalkan tabiat pemakanan lebih sihat dan penonton dapat mempelajari tip-tip tersebut menerusi program ini,” ujarnya.

Toni berkata demikian selepas majlis pelancaran program tersebut di sini, Selasa.

Program tersebut akan disiarkan di Astro RIA setiap hari Isnin pukul 10 malam mulai 13 Februari depan.

Dalam pada itu, pada majlis tersebut turut diperkenalkan barisan juri Dumex Chef Cilik Komplete Nutri iaitu Pakar Pemakanan Dumex, Nor'azah Mohd Sidi dan Chef Andri manakala Vanidah Imran sebagai hos.

Toni berkata beberapa tetamu selebriti turut dijemput dalam program 13 episod itu antaranya Dynas Mokhtar, Ako Mustapha dan Maria Farida.

"Setiap minggu peserta akan mencipta masakan berdasarkan tema diberikan sebelum dinilai oleh juri," ujarnya.

Sementara itu, menjelaskan lanjut mengenai program itu, Toni berkata setiap episod akan dibahagikan kepada empat segmen iaitu mencari bahan dalam peti sejuk berdasarkan soalan, Cipta Rasa, Dapur Komplete Nutri dan segmen Sejuta Rasa.

Katanya, menerusi segmen tersebut penonton di rumah juga dapat mempelajari cara mudah menyediakan sajian lengkap dan berkhasiat untuk keluarga mereka.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Danone Dumex dalam program tersebut kerana ia dapat memberikan ilmu dan tip kepada penonton selain menyeronokkan.

No comments:

Post a Comment