Sunday, February 19, 2012

Avril Lavigne pukau peminat Malaysia (8 GAMBAR)


Kunjungan Avril Lavigne ke Malaysia sempena Avril Lavigne Black Star Tour di Stadium Merdeka, Sabtu lalu dinantikan beribu peminat.

Buktinya, 14,000 membanjiri stadium dan ada peminat sanggup berhujan seawal jam 3 petang hanya kerana mahu menyaksikan persembahan bertenaga penyanyi yang berasal dari Kanada ini.

Malah bahang kehangatan konsert malam itu sudah mula dirasai apabila kebanyakan gerai di pintu luar stadium menjual baju-baju berlatarkan wajah Avril atau nama sebenarnya Avril Ramona Lavigne.

Kegilaan peminat penyanyi ini juga dapat dilihat daripada raut wajah masing-masing yang kelihatan cukup teruja dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan ruang depan berdekatan pentas utama bagi melihat penyanyi pujaan mereka lebih dekat.

Pentas semakin panas apabila peminat dibenar masuk sekitar jam 7 malam dan dihiburkan dengan lagu-lagu hit masa kini sementara menunggu artis kesayangan mereka beraksi. Biarpun Avril masih belum muncul di atas pentas, namun sorakan dan laungan daripada peminat-peminatnya sudah cukup menggambarkan kehangatan konsert pada malam itu.

Seperti dijanjikan, Avril mula muncul pada jam 8.45 malam, membuka tirai persembahan dengan menyampaikan lagu Black Star yang dipetik daripada album terbarunya, Goodbye Lullaby.


Walaupun hujan renyai, ia sedikit pun tidak mematahkan minat penonton untuk terus menikmati kelunakan suara figura ini. Terus panas di atas pentas dengan menyampaikan lagu kedua, What The Hell, Avril bijak mengajak peminat menyanyi bersama.

Masih lagi dengan tempo rancak, Avril memilih lagu hit daripada album sulungnya, Let Go dengan menyanyikan lagu Sk8er Boi sambil mengajak pemuzik iringan dan peminat turut menari bersama. Penonton semakin teruja apabila melihat penyanyi ini mengambil gitar bagi mendendangkan lagu He Wasn’t daripada album Under My Skin (2004).

Celoteh hibur peminat

Berselang-seli dengan celoteh menghiburkan, Avril bijak menarik tumpuan peminatnya dengan memilih 17 rangkaian lagu hit daripada setiap albumnya. Bermula 20 minit pertama dengan lagu rancak, Avril kemudiannya memilih untuk membuai perasaan penonton dengan lagu irama ballet rock, Aline, When You’re Gone dan lagu hit terbarunya, Wish You Were Here.

Momentum persembahan semakin rancak apabila Avril memilih lagu Girlfriend daripada album The Best Damn Thing (2007) dan My Happy Ending. Malah, Avril turut mencuri perhatian apabila menyampaikan lagu popular Airplanes dendangan asal B0B bersama Hayley Williams.

Di samping itu, Avril turut memperkenalkan pemuzik iringannya dan memberitahu siri jelajah di Kuala Lumpur destinasi terakhir untuk The Black Star Tour. Bekas isteri kepada vokalis kumpulan SUM 41, Deryck Whibley ini terus memanaskan pentas dengan menyanyikan lagu Don’t Tell Me dan Smile.

Bagaimanapun, selepas menyanyikan lagu I’m With You, penyanyi ini mengucapkan selamat tinggal kepada penonton. Sungguhpun begitu, keterujaan peminat masih belum tamat apabila mereka tidak mahu berganjak meninggalkan pentas dan bersorak memanggil penyanyi itu kembali.

Ternyata, gimik yang disediakan hanya sementara apabila Avril muncul di pentas dengan gitarnya sambil memainkan lagu Pumped Up Kicks (nyanyian asal Foster The People) yang dipersembahkan oleh salah seorang pemuzik pengiringnya.

Tambah menghangatkan konsert, Avril turut menerima sejambak bunga selepas itu dan meluahkan rasa gembiranya dengan sambutan peminatnya malam itu. Tidak sah jika meninggalkan pentas tanpa mendendangkan lagu berhantu yang mengangkat namanya dalam industri hiburan, Avril memilih Complicated sebagai lagu penutup tirai konsert.







No comments:

Post a Comment