Sunday, January 1, 2012

Safee Sali mungkin menganggur hingga April depan.

Safee Sali terpaksa menutup muka apabila terpaksa kembali ke Selangor

KESUDIAN Selangor yang mahu ‘merujuk semula’ dengan Safee Sali amat dihargai oleh bekas penyerang berbisa skuad Gergasi Merah itu.

Mengakui terharu dengan ‘jemputan’ tersebut, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim begitupun berkata, ia tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Ini kerana, beliau membayangkan Safee akan kekal bersama kelabnya, Pelita Jaya apabila dijangka memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada 31 Januari ini.

Menurut Zakaria, beliau akan berlepas ke Indonesia Selasa ini (3 Januari) bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu bersama pihak pengurusan Pelita Jaya.

“Terima kasih Selangor kerana prihatin dengan situasi Safee. Bukan tidak sudi, tetapi tempoh pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M) 2012 juga sudah ditutup, jadi Safee tidak boleh duduk diam sahaja sehingga April depan.

“Saya akan ke sana (Indonesia) pada 3 Januari nanti, jika tawarannya menarik, Safee besar kemungkinan akan kekal bersama Pelita Jaya,” kata Zakaria kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Zakaria menegaskan, Safee masih berminat beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) dan tidak hanya mahu kembali beraksi bersama Selangor semata-mata sekembalinya pemain itu suatu hari nanti.

“Ada pasukan (selain Selangor) yang berminat, tetapi hanya ‘cakap mulut’ sahaja.

“Lagipun, baru enam bulan Safee berkelana ke luar negara, berilah dia tempoh menimba ilmu dan pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun lagi,” katanya.

Zakaria berkata, kontroversi berhubung masa depan Safee yang dikatakan tidak dapat beraksi bersama skuad Harimau Malaya gara-gara Liga Super Indonesia (ISL) diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga semakin hampir menemui jalan penyelesaian.

“Ini kerana Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sah telah diambil alih oleh Komiti Penyelamat Sepak Bola Indonesia baru-baru ini,” jelas Zakaria.

Menurutnya, komiti yang ditubuhkan pada 19 Disember lalu itu akan mempengerusikan kongres tahunan PSSI pada 21 Januari depan bagi membincangkan pelbagai perkara berbangkit termasuk usul menolak kepimpinan Ketua Umum PSSI ketika ini, Djohar Ariffin Husin sebelum kembali bersidang pada Mesyuarat Agung PSSI, 6 Mac depan.

“Justeru, masa depan Safee sebenarnya masih selamat di sana dan tidak perlu berhijrah ke mana-mana pasukan,” katanya

No comments:

Post a Comment