Thursday, January 5, 2012

Pakatan Bernilai RM30b Singapura-Iskandar Malaysia Positif (6 PHOTOS)


Najib Tun Razak bersama Lee Hsien Loong ketika melihat model "Urban Wellness and Resort Wellnes" di Iskandar Malaysia sempena sesi Permukiman Malaysia-Singapura di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 5 Jan. - Pakatan antara Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Temasek Holdings Private Ltd. (Temasek) membabitkan projek pembangunan di Singapura dan Iskandar Malaysia bernilai kira-kira RM30 bilion, mula menunjukkan perkembangan positif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerjasama antara Khazanah dan Temasek sebagaimana yang diumumkan Jun tahun lalu kini menunjukkan kemajuan melalui komitmen kedua-dua pihak.

Dengan persetujuan kedua-dua pihak, M+S Pte. Ltd. diwujudkan dengan Malaysia mendapat manfaat melalui 60 peratus pegangan dalam syarikat tersebut untuk membangunkan bidang-bidang tanah bernilai tinggi di Marina South dan Ophir-Rochor, Singapura.

Manakala Pulau Indah Ventures Sdn. Bhd., yang menerima pelaburan 50-50 diwujudkan bagi membangunkan sebuah pusat peranginan 'wellness' di Iskandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM3 bilion.

"Kerjasama ini bukan sahaja akan mempertingkatkan kerjasama dan penglibatan kedua-dua negara, malah turut meningkatkan sentimen perniagaan syarikat-syarikat Singapura serta keyakinan para pelabur terhadap Iskandar Malaysia," katanya.

Prime Minister Datuk Seri Najib Razak greeting Singapore Prime Minister Lee Hsien Loong upon Lee's arrival for a meeting in conjunction with the Malaysia-Singapore Leaders' Retreat in Perdana Putra Building in Putrajaya today.
Perdana Menteri berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan empat mata dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sempena sesi permukiman Malaysia-Singapura di pejabatnya di sini hari ini.

Pada sesi pertemuan itu, Najib dan Hsien Loong turut menyaksikan pertukaran Perjanjian Pegangan Saham antara Khazanah dan Temasek bagi tujuan pelaburan bersama bagi kedua-dua syarikat yang ditubuhkan itu.

UEM Land Holdings Bhd., dan Mapletree Investments Pte. Ltd. (Mapletree) telah dilantik untuk membangun dan memasarkan projek di Marina South.

Untuk lokasi OphirRochor, UEM Land dan CapitaLand Ltd. (CapitaLand) dilantik untuk melaksanakan pembangunan dan pemasaran.

Khazanah dan Temasek akan membangunkan tanah-tanah tersebut dengan pembangunan pejabat, kediaman, hotel dan komponen runcit.

Kedua-dua pihak yang bekerjasama sejak Mei lalu telah mengenal pasti untuk membangunkan dua lokasi iaitu di Medini South dan Heritage Cluster di Medini Sentral.


Pulau Indah akan membangunkan apartmen perkhidmatan, pusat latihan korporat dan komersial, runcit dan kediaman.

Pulau Indah yang merupakan anak syarikat milik penuh tidak langsung kepada Eastern and Oriental Bhd., (E&O) akan bekerjasama dengan Nuri Merdu Sdn. Bhd., dengan kepentingan 50-50 bagi membangunkan pusat peranginan tersebut.


Dalam perkembangan lain Najib berkata, selepas termeterainya Instrumen Bertulis antara kedua-dua negara, Malaysia masih lagi menikmati keuntungan atau faedah meskipun tanah tersebut telah diserahkan kepada Singapura.

"M+S Pte. Ltd. akan membangunkan empat bidang tanah di Marina South serta dua bidang tanah di Ophir-Rochor masing-masing dalam bentuk pembangunan berintegrasi yang kini pada peringkat perancangan iaitu perangkaan pelan induk," katanya.

Najib menjelaskan daripada sudut peningkatan pelaburan di Iskandar Malaysia, Singapura bersetuju untuk melabur bersama dalam pembangunan projek perbandaran kesihatan ikonik melibatkan tanah seluas 202 hektar.




No comments:

Post a Comment