Thursday, January 5, 2012

Elak Kontroversi, AJL 26 Terpaksa Tambah Juri


KUALA LUMPUR, 6 JAN 2012: Demi mencapai keputusan yang lebih telus dan tidak lagi dipertikaikan pihak penerbitan Anugerah Juara Lagu ke -26 (AJL 26), seramai 15 orang juri profesional ditambah bagi mengadili keputusan anugerah tersebut kelak.

Jelas Penerbit Eksekutif AJL 26, Muhamad Sufian Che Isa, jika sebelum ini hanya tujuh orang juri profesional mengadili anugerah tersebut kini pertambahan tersebut dibuat semata-mata bagi memastikan tidak akan berlaku lagi ketidakpuasan hati semua pihak selepas penganjurannya.

"Jika sebelum ini, AJL memilih tujuh juri yang akan mengadili keputusan setiap lagu yang mana ia diadili secara dua peringkat. Peringkat pertama, 80 peratus markah, juri akan mengadili dengan mendengar lagu yang bertanding menerusi cakera padat (CD)yang didengar terlebih dahulu sebelum pertandingan, manakala peringkat kedua sebanyak 20 peratus diadili sewaktu pertandingan.

"Tetapi untuk AJL 26, kita buat perubahan iaitu 80 peratus markah diadili oleh 15 orang juri profesional yang akan mendengar lagu bertanding menerusi CD sehari sebelum. Manakala 7 orang juri profesional pula akan mengadili 20 peratus persembahan sewaktu AJL 26 berlangsung," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media AJL 26, petang semalam.

Mengharapkan agar tiada lagi kontroversi akan tercipta selepas penganjuran anugerah berkenaan, kata Suffian lagi, pihak juri yang dipilih masih lagi di kalangan penggiat seni tempatan dan tidak akan ada juri luar yang akan dijemput.

Malah katanya, seboleh mungkin juri yang dipilih itu kelak merupakan individu yang berkecuali dan tidak mempunyai hubungan persahabatan mahu pun kenalan kepada finalis.

"Sebaik-baiknya kami juga mahu mengelakkan agar tidak akan ada kontroversi selepas AJL 26 kelak. Seboleh mungkin kami akan cuba mendapatkan pihak juri yang berkecuali dan tidak mempunyai hubungan persahabatan bersama finalis.

"Kami tahu kadang kala ada yang mempertikaikan juri yang dipilih mempunyai hubungan rapat dengan finalis dan sebagainya. Kami cuba elak namun kami memang tidak akan mengambil juri dari luar kerana ini merupakan pertandingan lagu-lagu tempatan, jadi biarlah juri tempatan yang mengadilinya,"ucapnya dalam nada yang tegas.

Sementara itu, pada majlis tersebut turut diumumkan pengacara Muzik-Muzik iaitu Cheryl Samad dan Faizal Ismail bakal mengendalikan majlis anugerah berkenaan.

Selain itu pada majlis tersebut juga cabutan undian persembahan finalis turut diadakan. AJL 26 bakal menyaksikan Datuk Sheila majid, Awie dan Jamal Abdillah tampil selaku penyanyi pembukaan serta tiga penyanyi muda, iiatu Black, Azlan The Typewriter dan Hazama akan muncul dalam segmen Interlude.

AJL 26 bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil jam 9 malam pada 29 Januari depan. Sebanyak 12 lagu iaitu Gadis Semasa, Kisah Hati, Awan Nano, Beribu Sesalan, Cinta Muka Buku, Kekanda Adinda, Sungai Lui, Wanita Seluruh Dunia, Kalau Berpacaran, Penakut, Sedetik Lebih dan Karma bakal berentap merebut gelaran juara kelak.

No comments:

Post a Comment