Friday, December 2, 2011

Tanda haji mabrur bersandarkan nas (5 GAMBAR)


SAYA telah membaca ruangan Kemusykilan Agama dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia bertarikh 25 Nov. 2011.

Saya terpanggil untuk bertanya kerana ramai ustaz, sama ada di akhbar atau di saluran media yang lain kerap memperkatakan tanda haji yang diterima (mabrur) adalah akhlak, iman atau perangainya telah berubah selepas balik daripada mengerjakan haji.

Kalau dahulu tak sembahyang atau tinggal sembahyang selepas balik daripada haji ia berubah. Sembahyang tidak tinggal, perangai dah berubah dan bermacam-macam lagi.

Bagi menggelakkan perkara ini diperkatakan sewenang-wenangnya dan akan menyebabkan masyarakat Islam yang cetek atau kurang pengetahuan ilmu Islam akan mendapat fahaman yang salah.

Apakah ada dalil atau hujah daripada al-Quran dan Hadis yang memperkatakan perkara ini (tanda haji mabrur perangai berubah, sembahyang tidak tinggal dan lain-lain lagi). Sama ada haji seseorang itu diterima atau tidak, hanya Allah sahaja yang tahu. Bukan berdasarkan tanda-tanda seperti yang kerap disebutkan.

Sekali pun haji seseorang itu tidak diterima atau diterima, sebagai seorang beragama Islam ia mesti bersembahyang, bayar zakat, berakhlak baik dan sebagainya.

Saya harap semua penceramah agama mesti memberikan ceramah berlandaskan hujah atau dalil al-Quran dan hadis. Tidak boleh sebarang cakap.

JAWAPAN:

Mengenai tanda-tanda atau ciri-ciri orang yang mendapat haji mabrur, ia bukan hasil pemikiran mana-mana individu tanpa didasari nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW atau nasihat para ulama.

Sebaliknya, ia adalah pemerhatian ulama berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Adapun cara saudara menolak dan mempertikaikan apa yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Ghazali, Imam al-Nawawi dan ulama-ulama lain seolah-olah saudara membezakan dua perkara yang tidak setanding untuk dibeza dengan kisah sahabat bagi salam sebanyak tiga kali ketika ke rumah Umar.

Kiasan saudara tidak tepat, kaedahnya salah. Cara para alim ulama memahami nas mungkin tidak seperti mana orang awam faham.

Alhamdulillah tidak ada nas yang secara langsung menyentuh ciri-ciri haji mabrur. Jika ada, pasti akan menjadi senjata bagi mengatakan orang yang balik dari haji tapi tiada perubahan, mungkin juga akan ada tuduhan haji mabrur (haji yang diterima) dan haji mardud (haji yang ditolak).

Maka bagi haji mabrur, pasti ada tanda Allah terima. Apa yang diketengahkan oleh ulama mengenai ciri-ciri haji mabrur adalah berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran.

Antaranya ayat Allah yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197).

Perkara pertamanya al-rafth, yang ditegah dalam ihram adalah jimak. Ibn Abbas berpendapat: al-Rafth adalah bercakap perkara-perkara yang berkaitan dengan jimak atau mengajak kepadanya sehingga Thaus berpendapat bahawa: al-Rafth adalah kata-kata si suami kepada si isteri, "sekiranya aku telah bertahlul nescaya aku akan mendatangi mu". (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:1, hlm:355)

Adapun perkataan al-fusuq bermaksud maksiat, apa-apa sahaja perbuatan yang dikira maksiat. Ibn Umar berpendapat ia bermaksud, mendatang atau melakukan perbuatan maksiat di tanah suci.

Dalam sahih al-Bukhari, baginda bersabda yang bermaksud: "Mencaci sesama muslim adalah fusuq, manakala membunuh sesama orang Islam adalah kufur. (al-Bukhari, kitab al-Iman, no:48)."

Adapun perkataan jidal, bermaksud berbantah. Namun ada dua makna yang dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Yang pertama; tidak bantah-membantah ketika menunaikan ibadah haji.

Malahan al-Mujahid memberitahu bukan sekadar ditegah berbantah ketika melakukan haji malah, sepanjang bulan-bulan haji adalah dilarang daripada sifat membantah antara satu sama lain.

Maksud kedua bagi perkataan jidal adalah, bergaduh. Hadis Rasulullah SAW daripada Jabir Bin Abdullah berkata; baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan manasiknya (ibadah hajinya), sedang muslim lain tidak terganggu dengan lisannya dan tangannya, maka diampunkan dosanya yang lepas". (Ibn Adiy, jld:4, hlm:1451).

Kalau diteliti ketiga-tiga perkara yang dinyatakan melalui firman Allah SWT dalam melakukan ibadat haji adalah suatu yang sepatutnya difahami sebelum berangkat ke tanah suci.

Lagipun melalui ciri-ciri haji mabrur yang dinyatakan adalah sebagai memberi suatu persedian secara mental supaya ada keazaman mahu berubah ke arah yang lebih baik berbanding yang sebelumnya.

Kalau seseorang yang berangkat ke Tanah Suci memang sudah ada ciri-ciri insan yang soleh maka baliknya dari Tanah Suci juga akan kekal soleh. Ini kerana ada di antara kita semasa di Mekah semuanya baik, tetapi apabila balik jadi tidak berapa baik, malah kembali seperti sebelumnya.

Kita diperintah untuk melakukan ibadat fardu dalam Islam seperti solat, haji, zakat dan puasa adalah semata-mata untuk mencapai nilai keinsanan yang terpuji. Malangnya ibadat-ibadat ini seperti tidak memberi kesan dalam kehidupan seharian.

Haji mabrur pasti akan meninggalkan kesan pada diri individu, sebab itulah falsafah haji yang utama. Supaya penat lelah yang dilalui dalam mentaati perintah Allah SWT dengan berwuquf, melontar, tawaf dan saie.

Sepanjang wuquf sepatutnya seseorang membanyakkan doa dan bermuhasabah bahawa akan tiba masanya dia akan berhimpun dalam satu perhimpunan yang agung di suatu kawasan yang lapang, iaitu Padang Mahsyar.

Semasa melontar jamrah bukan sekadar dia membaling beberapa biji batu ke arah jamrah, tetapi proses membuang dan membaling keluar segala sifat kesyaitanan dalam diri.

Semua ini masakan tidak mendatangkan kesan dalam diri seseorang. Sebab itulah ulama meletakkan beberapa ciri atau tanda seseorang beroleh haji yang mabrur.

Haji bukan melancong

Ini supaya ibadah haji tidak menjadi seperti melancong ke Tanah Suci. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan haji sedang dia tidak melakukan hubungan suami isteri semasa dalam ihram, dan tidak melakukan apa-apa maksiat dan tidak berbantah dan bergaduh, maka kembalinya dia dari Tanah Suci seperti bayi yang baru dilahirkan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain yang bermaksud: Haji yang mabrur tiada balasan melainkan syurga. (riwayat Muslim)

Haji mabrur maksudnya adalah haji yang dilakukan secara sempurna, cukup rukun dan wajibnya yang tidak dirosakkan dengan perbuatan maksiat.

Saya turut setuju dengan saudara bahawa mungkin tidak jelas kelihatan tanda-tanda haji yang mabrur pada diri seseorang tetapi secara umumnya manusia sepatutnya menerima perubahan melalui ibadah haji.

Kita berdoa dan berharap agar Allah SWT mengurniakan haji yang mabrur kepada para jemaah haji Malaysia, malahan seluruh jemaah haji yang baru selesai melakukan ibadah haji.

Saya yakin jika beroleh haji yang mabrur pasti nilai-nilai kebaikan akan terpancar daripada diri setiap jemaah haji.