Wednesday, December 21, 2011

Sudah Tiba Masanya Shahrizat Letak Jawatan

KUALA LUMPUR – Apakah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah menghantar surat perletakan jawatannya hari ini?

Isu itu tersebar meluas dan soalan mengenainya telah diajukan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis yang dihadiri beliau di sini hari ini.

Perdana Menteri menafikan tindakan itu.

Najib bagaimanapun berkata, beliau akan membuat satu pengumuman penting melibatkan Shahrizat tidak lama lagi.

Isi penting pengumuman itu tidak sedikit pun disebut oleh beliau.

Namun, sumber memberitahu Mynewshub.my, Shahrizat berkemungkinan tidak akan dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana beliau hampir pasti akan tewas di mana sahaja kerusi yang beliau tandingi dan itu bukan satu pilihan yang baik buat Barisan Nasional (BN).

Desas-desus perletakan jawatan Shahrizat tersebar selepas beliau dilaporkan berkata;

“Tidak ada siapa yang perlu memberitahu saya apa yang perlu saya buat.

“Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan sudah matang dalam politik dan sayang kepada Barisan Nasional (BN), saya tahu apa yang patut saya buat dan saya akan bincangkannya dengan Datuk Seri Najib,” kata kepada wartawan hari ini.

Karier politik Shahrizat kini dibelenggu dengan isu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dipengerusikan suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

NFC menjadi perhatian umum apabila sebahagian dananya dikatakan telah digunakan untuk membeli kondominium mewah di Bangsar dan terbaru di Singapura.

Perbadanan itu dikatakan telah menerima dana berjumlah RM256 juta (RM250 juta dalam bentuk pinjaman dan RM6 juta dalam bentuk geran).

NFC asalnya ditegur pihak Ketua Audit Negara kerana diuruskan dengan cara yang kucar-kacir serta gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Perkara itu (teguran Ketua Audit) telah dinafikan oleh pihak NFC tetapi isu berkaitan pembelian kondominium mewah itu masih tergantung jawapannya.

Isu NFC menjadi semakin parah apabila Dr Mohamad Salleh dilihat mengambil pendirian berdiam diri dan mengelak dari menjawab.

Sikap beliau itu mendapat kritikan pedas Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang berkata, sikap berdiam diri Mohamed Salleh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban dituduh bersubahat sedangkan semua dakwaan melibatkan urusan syarikat.

“Saya gesa Datuk Seri Dr Mohamad Salleh tampil ke depan dengan segera menjawab segala tuduhan baru yang tersebar di dalam blog, yang dibuat pembangkang supaya rakyat tidak terkeliru dan kerajaan tidak menjadi mangsa tuduhan.

“Bila berdiam diri, tak jawab (segala dakwaan) seolah-olah dia tidak bertanggjungjawab, seolah-olah dia sengaja nak susahkan UMNO dan kerajaan,” katanya awal bulan ini.

Selain pembangkang, wujud desakan yang agak kuat dalam UMNO juga yang mahu Shahrizat meletak jawatan dan berundur segera bagi mengelakkan dirinya terus menjadi liabiliti kepada parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang diramal banyak pihak berlangsung awal tahun hadapan.

Antara yang membuat gesaan berkenaan adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa Ahli Parlimen BN.

Di peringkat ini, Najib pun mesti dalam dilema kerana hendak ambil tindakan terlalu tegas secara mendadak bukan mudah kerana Shahrizat bukan kecil-kecil anak, beliau adalah Ketua Wanita BN dan UMNO.

Harus berpijak di bumi yang nyata kerana Najib selaku Presiden UMNO pastinya mahukan jentera yang terkuat untuk menghadapi PRU-13.

Kalau Shahrizat ditolak begitu sahaja, ada kemungkinan sayap Wanita akan patah dan selaku sayap terpenting, ia akan menjejaskan UMNO dengan begitu teruk sekali.

Itu satu percaturan politik yang amat tinggi risikonya.

Dalam isu NFC, Shahrizat dilihat telah menemui jalan buntu dalam memperjelaskan isu berkenaan sehingga sekadar mampu berkata;

“Saya hanya isteri kepada Pengerusi NFC. Semua wanita ada keluarga dan suami,”.

Kalau sudah mula beri jawapan-jawapan seperti ini, yang nyata menagih simpati semata-mata dan tidak ada isi yang kuat, maka lebih baik Shahrizat berundur sahajalah.

Kalau benar sayang UMNO dan BN, itu adalah antara penyelesaian terbaik.

Kalau benar tidak dicalonkan untuk PRU-13 pun mungkin satu permulaan yang baik ke arah Shahrizat berundur diri secara perlahan-lahan.

Dan sebenarnya apa yang terbaik boleh dilakukan ialah Shahrizat berundur atas kesedaran sendiri.

Keputusan PRU tahun 2008 mengajar bahawa BN dan UMNO perlu berjuang dengan sebaik mungkin dalam PRU-13 untuk terus kekal releven memerintah negara ini.

Jika Shahrizat dan suaminya gagal memberikan penjelasan yang munasabah dan boleh diterima umum, maka beliau harus berundur dari jawatan dalam Kabinet dan parti atas kerelaan sendiri.