Thursday, December 22, 2011

Shila Amzah adalah cermin saya: Sharnaaz


Pelakon Sharnaaz Ahmad, mengakui selesa berkawan rapat dengan Shila Amzah, kerana penyanyi itu memiliki kriteria wanita idamannya yang layak dijadikan sebagai calon isteri.

Malah Sharnaaz turut mendedahkan sikapnya banyak berubah selepas berkawan dengan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Memori Tercipta itu.

“Saya ibaratkan Shila sebagai cermin. Apabila melihat dia, saya seperti melihat diri sendiri. Malah dia banyak mengajar saya bagaimana untuk menghargai peminat kerana sebelum ini saya memang tidak tahu bagaimana untuk melayan peminat saya.

“Saya menyenangi sikapnya yang ikhlas dan tidak berpura-pura. Malah dia juga suka menggembirakan orang lain walaupun ketika itu dia sendiri dilanda masalah,” katanya yang ditemui pada pelancaran drama Bicara Hati di Ampwalk, baru-baru ini.

Tambah Sharnaaz lagi, hubungan akrab yang terjalin sejak terlibat dalam klip video single lagu penyanyi itu, Patah Seribu, turut direstui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

“Baik daripada pihak keluarga Shila mahupun keluarga saya, mereka menerima perhubungan akrab ini dengan baik tetapi kami belum sampai ke tahap bercinta.

“Masih terlalu awal untuk menjalinkan hubungan cinta kerana masing-masing mempunyai matlamat tersendiri dalam mengejar impian kami.

“Tambah pula Shila masih muda dan semestinya banyak perkara yang perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan kerjaya nyanyiannya itu,” katanya.

Ekoran daripada klip video Patah Seribu itu, Sharnaaz memberi bayangan akan bekerjasama dengan Shila Amzah dalam sebuah projek yang masih dirahsiakan sedikit masa lagi.

“Ada pihak yang berminat dengan Patah Seribu dan bercadang untuk menggandingkan kami. Apakah projek itu, biarlah menjadi rahsia sampai semuanya pasti,” katanya.

Terharu dilamar Osman Ali

Sementara itu, Sharnaaz bersama pelakon Christina Suzanne, Marsha Londoh dan Lash Mokhtar bakal muncul dengan sebuah drama yang diadaptasi daripada novel, Bicara Hati, arahan Osman Ali, yang masih lagi dalam penggambaran.

Bercerita mengenai tawaran yang diterima, Sharnaaz mengakui sangat terharu apabila dihubungi Osman untuk membintangi drama terbaru arahannya.

“Osman adalah individu bertanggungjawab yang mencadangkan nama saya kepada penerbit, Shaarad. Memang saya rasa bertuah kerana dapat bekerja di bawah arahannya.

“Pada mulanya saya akui tertekan kerana saya mahu buat yang terbaik. Tetapi Osman banyak memberi keyakinan kepada saya dan membuatkan saya berasa selesa di set penggambaran,” katanya.

Bicara Hati mengisahkan tentang kisah cinta yang terjalin kerana wang dan kuasa yang mana Tengku Shahran, lakonan Sharnaaz terpaksa berkahwin secara kontrak dengan Zahlia (Christina).

Drama sebanyak 26 episod itu akan bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam, mulai 3 Januari tahun depan menerusi saluran Astro Prima (105).

No comments:

Post a Comment