Saturday, December 17, 2011

Serina Tak Sabar Menanti Kelahiran Isabelle


KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER 2011: Lihat sajalah kemesraan antara pelakon dan pengacara popular Serina Redzuawan dengan buah hati pengarang jantungnya, Tristan Tareef yang telah memasuki usia satu tahun tiga bulan.

Wajah kacukan Tristan, hasil perkahwinan Serina dengan Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar ini mungkin sekali lagi akan dapat dilihat apabila bekas pengacara Jalan- Jalan Cari Makan itu melahirkan bayi perempuan mereka dalam masa terdekat.

Bercakap kepada portal murai.com.my, Serina berkata dia tidak sabar menanti kelahiran anak keduanya itu yang sudahpun diberikan nama iaitu Isabelle.

"Entahlah, saya suka sangat dengan nama itu. Bagi saya Isabelle melambangkan symbol seorang wanita yang cantik, bukan saja dari segi wajah dan juga budi pekertinya.

"Tapi nama itu ada sambungannya. Saya dan suami masih lagi mencari nama dalam bahasa Arab yang sesuai untuk menyambung nama itu supaya kedengaran lebih indah dan membawa maksud yang baik. Tunggu sajalah bila dia dilahirkan nanti," katanya yang kini sarat mengandung lapan bulan.

Meskipun daripada fizikalnya, Serina sudah sepatutnya berehat hanya menunggu detik kelahiran, namun pelakon Gerak Khas ini tidak bias duduk diam.

Ketika ditemui pada pelancaran buku masakan ayahnya, Datuk Chef Redzuawan Ismail baru-baru ini, Serina telah memegang peranan sebagai pengacara majlis. Malah dia juga tidak keberatan untuk bergambar apabila diminta oleh jurugambar yang hadir.

Portal murai.com.my tidak ketinggalan merakamkan gambar kemesraan mereka berdua, walaupun Tristan nampaknya masih di awang-awangan kerana baru saja terjaga dari lenanya.

Begitu juga ketika menghadiri majlis pernikahan dan persandingan abangnya, Chef Riz, hujung minggu lalu. Dia ke hulu ke hilir melayan tetamu serta peminat yang ingin merakamkan gambar kenangan bersamanya.

"Saya sangat gembira untuk kehamilan kali kedua ini. Alhamdulillah, sehingga sekarang saya tidak mengalami sebarang alahan dan tidak ada langsung pening kepala. Mungkin inilah rahsia menghamilkan bayi perempuan.

"Saya bersyukur dan selalu memotivasikan diri untuk sentiasa aktif walaupun berbadan dua. Jika saya mahu lakukan sesuatu, saya akan pastikan ianya akan dilakukan tanpa sedikitpun rasa letih.

"Saya juga cuba elak daripada bersikap emosi kerana ianya tidak baik untuk kandungan saya. Alhamdulillah juga, suami sering menyokong saya melakukan kerja rumah dan memahami keadaan saya ketika berbadan dua," katanya