Monday, December 5, 2011

"Saya Bukan Pelakon Drama Swasta" - Azmeer nafi biadap


“Saya bukan pelakon drama swasta, tapi saya juri. Saya bosan hendak cakap perkara sama saban minggu. Itu sebabnya saya tinggalkan set. Saya tidak buat drama. Bukan TV3 yang suruh. Saya pun punya harga diri. Takkan saya sengaja hendak buat begitu. Ini tugas yang TV3 berikan kepada saya, jadi saya kena jalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya,” ulas Azmeer tentang tindakannya meninggalkan kerusi juri selepas Mafa selesai membuat persembahan di konsert minggu ke lapan Vokal, Bukan Sekadar Rupa.

Jelas Azmeer lagi, semua peserta pada minggu ini mencabar kesabarannya sebagai juri. Memandangkan sudah lama dia menyimpan kemarahannya itu, jadi malam tadi dia melepaskannya.

“Kalau saya komen yang sama sahaja pada setiap minggu, penonton tidak suka mendengarnya. Tapi, peserta seolah-olah tidak mendengar apa yang saya cakap. Minggu ini semua peserta mencabar kesabaran saya. Mereka memang boleh menyanyi dengan bagus, tetapi tidak sampai standard yang diperlukan untuk program ini.

Kalau menyanyi bagus, tapi menari macam budak tadika, buat apa? Untuk program ini, mereka harus bagus menyanyi dan menari.  Kalau saya tidak tegur mereka hari ini, saya tidak yakin mereka mampu bertahan selepas tidak bersama program ini. Mereka akan jadi sama seperti penyanyi-penyanyi program realiti yang lain. Tidak ke mana-mana.  Saya tidak mahu perkara ini terjadi kepada mereka. Sebab  itu saya marahkan mereka hari ini,” ujar Azmeer lagi.

Mengulas tentang keputusan juri memilih Azmarul untuk mara ke minggu seterusnya, Azmeer memberitahu keputusannya dengan Erra itu dibuat bukan bersandarkan kepada persembahan Azmarul dan Irsa pada pusingan battle sahaja. Sebaliknya, mengambil kira persembahan-persembahan mereka sebelum ini.

“Persembahan Azmarul lebih konsisten berbanding Irsa. Suaranya tidak pernah pecah.  Tapi Irsa pernah. Sebab itu kami bagi peluang kepada Azmarul untuk terus mara,”ujar Azmeer berterus –terang.