Friday, December 9, 2011

Saiful Apek kembali menagih dadah, memalukan (3 GAMBAR)



ENAM tahun menggondol Anugerah Pelakon Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 42, atau Saiful Apek bagai sudah serasi dengan dunia lawak dan bermain kata yang menggeletek penonton untuk tertawa.

Bersih daripada kes-kes saman akibat luncuran butir kata ketika melawak, bagaimanapun bapa kepada tiga orang cahaya mata itu tetap tidak boleh lari daripada kes dadah yang kembali bertaut.

Biar sebelum ini dia pernah ditangkap dan disyaki mengambil dadah jenis ganja dan kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin, kes itu kini kembali disebut di Mahkamah Majistret Petaling Jaya awal bulan lalu.

Saiful Apek dituduh mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis sekiranya disabit kesalahan. Sebutan semula kes Saiful Apek ditetapkan pihak mahkamah pada 23 Disember ini.

Turut didakwa atas tuduhan yang sama, tiga rakannya, Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan seorang wanita Noremy Mohamad, 28.

Saiful Apek bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan tekad memperjuangkan haknya selagi belum sahih.

"Kes ini masih dalam perbicaraan dan saya masih tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah atas tuduhan yang telah dibacakan," katanya ringkas ketika ditemui di majlis tayangan filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur sempena Malam Promosi Filem 2011 di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

PELAWAK berpengalaman ini nyata mempunyai persepsi tersendiri tentang kontroversi yang sering melanda dirinya.

Tambah Apek, isu dia diheret ke mahkamah adalah perkara lapuk yang cuba dijelmakan semula.

"Saya ingatkan perkara ini sudah habis sehingga dipanggil semula masuk mahkamah awal bulan lepas. Saya sendiri tak tahu atas dasar apa perkara ini dibangkitkan semula dan digambarkan seolah-olah ini isu baharu walhal benda itu sudah lama.

"Saya tidak kisah berapa lama pun masa yang diambil, selagi muka saya tidak diharamkan keluar televisyen maka selagi itu saya belum dibuktikan bersalah," ujarnya tertawa kecil.

Saman pelawak

Tutup kisah sarang duka Apek yang sering dikaitkan dengan najis dadah. Selagi belum terbukti, usah skeptikal terhadap sesuatu isu, itu prinsipnya.

Menyifatkan bidang komedi adalah paling hampir dengan peminat, Apek menyanggah perilaku sesetengah pihak yang kurang peka ketika beraksi di pentas.


"Pelawak adalah orang paling mudah didekati dan paling dekat dengan masyarakat, daripada budak kecil hingga orang yang sudah veteran.

"Dalam pada kita melawak, seboleh-bolehnya elakkan mengutuk sesama sendiri dan kandungan lawak juga perlu lebih konstruktif serta kena pada tempatnya. Jangan sampai disifatkan pelawak tidak berilmiah!" tegas Apek.

Selain itu, menurut pelakon utama filem Duyung arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen itu, tidak seperti pelakon dan penyanyi yang mana ilmunya boleh dipelajari secara akademik, pelawak sebaliknya perlu belajar dari pengalaman sepanjang berlawak.

"Akademik bagi seorang pelawak adalah perjalanan kita sebagai pelawak, berjumpa orang sana sini dan mengembara merata tempat, paling banyak saya belajar ketika bersama kumpulan Senario selama enam tahun di TV3," luahnya berfalsafah.

Berdepan pelbagai protokol sewaktu mengadakan persembahan di hadapan pelbagai golongan masyarakat, nasihat Apek, pelawak perlu sensitif dan peka.

"Apabila selalu menyentuh segenap jenis kumpulan, ada perkara patut dan tidak patut kita cakapkan dan kadangkala ada juga terlepas cakap.


"Tapi seelok-eloknya kita sendiri kena ada penapis dalam diri, cuba elakkan isu-isu sensitif, tidak persendakan agama, politik dan perkauman.

"Sebagai figura juga kita kena sentiasa hargai peminat. Cukup sekadar balas tweet dengan hanya smiley, itu juga membantu meningkatkan jati diri kita," ujarnya yang pernah seminggu tidak tidur selepas dapat bersalaman dengan pemain bola sepak legenda, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Aletotoit

Apek dalam pada itu menyangkal dakwaan bahawa dia dikatakan takut untuk menyahut cabaran berentap dalam rancangan realiti yang menghimpunkan pelawak-pelawak terkenal tanah air seperti Majaraja Lawak. Apek ada pendirian sendiri.

"Rancangan realiti bagus untuk perniagaan tapi tidak bagus untuk pelawak terutama amatur, bertanding sesama pelawak ibarat proses melanggar karma.
"Cukup-cukuplah saya nak berlawan sesama rakan-rakan lain, jangan tamak sangat. Saya juga mahu bagi peluang untuk rakan-rakan lain naik.

"Mungkin ada yang kecewa saya tidak masuk beberapa rancangan realiti, tapi saya perlu cari sesuatu yang bersesuaian untuk melibatkan diri," katanya yang pernah ditawarkan menjadi peserta dan juri dalam sebuah program realiti popular.

Niat asal menjadi seorang pelawak juga perlu diperbetulkan, bukan untuk mencari duit sebaliknya perlu lebih kepada meningkatkan pencapaian serta kelebihan diri.

Malah ujar Apek, pengkritik dalam sesuatu program realiti itu juga perlu datang daripada bidang itu. Jika tidak ia kelihatan sangat janggal!

Bukan hanya berlakon, malah perancangan tahun baharu Apek juga tidak lari daripada mengeluarkan single sendiri berjudul Aletotoit.

Sekali dengar bunyinya melucukan, namun kata Apek Aletotoit bermakna 'Alamak' yang diberikan pengertian global.


FILEM Bujang Terlajak Belum Terlanjur menggandingkan dari kiri, Saiful Apek, Nur Fazura, Nabil dan Johan Raja Lawak (berdiri).

"Ini bahasa yang sering saya sebut masa kecil-kecil bermaksud 'alamak', lagu ini ibarat satu perpaduan untuk semua bangsa yang menyebut 'alamak' dalam pelbagai cara," ujarnya mengenai lagu bergenre reggae itu.

Lirik lagu Aletotoit ditulis sendiri oleh Apek dan Bob Kuman, klip videonya sedang dalam proses pembikinan dan teasernya boleh ditonton di laman Youtube.