Monday, December 5, 2011

Promosi lagu Melayu ke Antarabangsa ? (GAMBAR)


Pertandingan Lagu Melayu Antarabangsa 2011  kedengaran agak pelik. Mana boleh lagu Melayu dipertandingnkan ke peringkat antarabangsa sebab ia bukan bahasa popular berbanding bahasa Inggeris?

Tapi ia bukanlah mustahil. Buktinya pertandingan yang mensyaratkan penyertaan dari kalangan orang asing itu  telah ada juaranya. Seorang lelaki Yemen dan gadis Kemboja menjuarai kategori lelaki dan wanita.

Pertandingan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu membuktikan, kalau ada kesungguhan ia akan berjaya.

Sepuluh peserta di kalangan orang  luar negara memperlihatkan kesungguhan menyanyikan lagu Melayu dengan cara mereka tersendiri. Peserta juga mengakui penglibatan mereka dalam pertandingan seumpama itu boleh membantu mereka dalam mendalami dan menguasai Bahasa Melayu.

TUAH LAGU DONDANG
DENDANG.
Itulah matlamat pertandingan julung kali itu diadakan iaitu memartabatkan lagi bahasa kebangsaan dan mengekalkan khazanah budaya negara. Ia juga boleh mempopularkan lagi Bahasa Melayu ke luar negara melalui warga asing tersebut.

Lebih 60 warga asing yang menetap di sini mencuba nasib pada peringkat saringan yang berlangsung pada 26 November lalu. Mereka memilih lagu-lagu pop serta lagu yang mempunyai sentuhan tradisional.

Malah kedua-dua juara memilih lagu bersentuhan etnik. Juara lelaki memilih lagu Mimpi Laila nyanyian Yasin manakala lagu Dondang Dendang nyanyian Noraniza Idris membawa tuah kepada peserta Kemboja. Lebih manis bila mereka mengalahkan peserta dari Indonesia.