Wednesday, December 7, 2011

Malaysia siar saluran baru, berita tv WBC April 2012


Worldview Broadcasting Channel (WBC), satu saluran berita televisyen tempatan baharu yang akan memulakan operasi April tahun depan kini membuat siaran ujian di Lembah Klang sejak 1 Dis lalu.

Menurut satu kenyataan Worldview Broadcasting Channel (M) Sdn Bhd, ujian siaran itu adalah dari pukul 7 petang hingga 10 malam dan boleh diikuti menerusi frekunesi UHF Saluran 39 pada 615.25 megahertz dengan siaran program majalah serta dokumentari tempatan dan asing.

Kandungan utama stesen televisyen itu adalah 70 peratus liputan berita antarabangsa manakala bakinya adalah pelbagai program meliputi hal ehwal semasa dan dokumentari.

"Penonton WBC boleh mengikuti laporan berita yang disiarkan secara langsung dari beberapa lokasi di seluruh dunia yang disampaikan mengikuti perspektif Malaysia dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan Arab," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pendekatan WBC untuk mempelbagaikan sumber berita menerusi kerjasama dengan stesen televisyen berita dan hal ehwal semasa seluruh dunia akan memberikan penonton pengalaman baru menonton siaran berita.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.wbcchannel.tv, menurut kenyataan itu.