Sunday, December 4, 2011

Kru kabin Penerbangan Malaysia (MAS), Kerja Tak kejar glamor

KUSYUK...mendengar penerangan mengenai penyajian minuman.

LIRIKAN mata tidak puas mengekori setiap langkah kumpulan gadis ini menyusuri pentas di Lecture Theatre, Aras 1, Akademi Penerbangan Malaysia, Kelana Jaya, Selangor itu.

Gaya jalan mereka yang kelihatan tersusun penuh santun nyata menyerlahkan penampilan gadis yang ayu berkebaya hijau. Persis perempuan Melayu terakhir lagaknya, senyuman lembut menghias bibir menggamit rasa damai dan mesra sesiapa juga menyapanya.

Itu persona ditampilkan semua kru kabin sepanjang Majlis Konvokesyen Kru Kabin, Penerbangan Malaysia (MAS), baru-baru ini.

Sebaik disapa, sedikit pun mereka tidak canggung menjawab setiap persoalan diajukan, membuatkan mereka senang didekati.

Seorang kru kabin ditemui, Dayang Noorizzah Abang Noorzuki, 24, berkata kru penerbangan perlu sentiasa peka dan bersedia, baik daripada segi interaksi mahupun layanan kepada pelanggan.

“Karier ini menagih saya supaya sentiasa ‘alert’ dan memberi ‘respons’ terhadap perkara di sekeliling saya.

EKSTRA...asas pertahanan diri.
“Terutama tatkala saya melayani kerenah penumpang yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan rupa. Lebih serius apabila masalah yang timbul membabitkan perihal keselamatan mereka,” katanya yang turut menerima anugerah pelatih terbaik pada majlis berkenaan.

Apabila dilontar mengenai imej ‘glamor’ di sebalik seragam hijau berkenaan, bukan itu yang dikejar anak kelahiran Kuching ini.

“Kerjaya ini sebenarnya tiada kaitan dengan populariti tetapi lebih kepada membentuk kredibiliti dan sifat bertanggungjawab terhadap orang lain.

“Bayangkan, setiap perkara membabitkan penumpang yang menaiki Boeing serta Airbus sepenuhnya berada di bawah tanggungjawab kami selaku kru.

“Dalam erti kata lain, ia tidak setimpal dengan popularitinya kerana pekerjaan kami merangkumi menyediakan makanan, membersih kabin hinggalah memujuk anak kecil,” katanya yang bangga dapat berkhidmat kepada setiap pelanggan Mas.

Bagi Norsheena Amran Ramakrishna, 22, kerjaya kru kabin bukan hanya bersandarkan skop tugas dalam kabin penerbangan, sebaliknya ia membabitkan pembawaan diri setiap tempat dikunjungi.

“Sebelum ini saya tidak perlu bimbang hal penjagaan kuku mahupun kulit. Jauh sekali mengenakan alat solek ketika keluar daripada rumah.

“Berbeza dengan sekarang, saya perlu menjaga penampilan dan kelakuan kerana saya membawa imej penerbangan terkemuka.

“Ia sedikit pun tidak memberi tekanan kepada diri kerana kerjaya ini ialah impian sejak zaman persekolahan lagi.

“Ditambah dengan dorongan ibu bapa yang turut memandang tinggi profesion ini, saya tidak ragu-ragu menyertainya,” katanya yang perlu melalui 12 peperiksaan sebelum mengikuti penerbangan sebenar.

CERIA...kru kabin berjaya menamatkan latihan.
Rakannya, Melissa Ting Tian Fui, 25, berkata tempoh tiga tahun lalu sebagai kru kontrak membuat dirinya benar-benar jatuh cinta pada karier itu.

“Pengalaman ketika melayan penumpang dan berkhidmat bersama rakan kabin membuatkan saya gembira dengan kerjaya ini.

“Ibu yang mulanya tidak merestui tugas saya kerana bimbangkan keselamatan dapat menerima selepas sering mendengar saya menceritakan pengalaman ketika bertugas,” kata anak sulung empat beradik ini.

Melissa turut berkongsi kenangan dialami tiga tahun lalu yang membantu beliau terus menyukai tugas di awan biru.

“Saya pernah menghadapi saat mencemaskan di mana penumpang berhampiran saya mengalami serangan panik.

“Dia kelihatan sesak nafas dan seakan-akan mengalami serangan jantung. Sebaik dimaklumkan anaknya, saya bergegas melonggarkan pakaian dan menenangkan dirinya sementara meminta bantuan doktor.

“Penerbangan terpaksa ditunda bagi membawa turun wanita itu dan sebaik berada di lapangan dia mampu berjalan seperti biasa,” katanya.

Leo Ting Chie Ming, 29, pula berkata, meskipun berkhidmat sebagai kru lelaki, urusan penjagaan kecantikan serta penampilan diri tiada bezanya dengan kru wanita.

PERLU TAHU...servis pelanggan.
“Saya turut melalui kelas dandanan diri bagi memastikan saya menjaga kekemasan dan kebersihan diri yang total,” katanya.

Leo turut berkata, kerjaya sebagai kru melatih dirinya dengan pengetahuan dan pengalaman baru.

“Terus terang saya katakan, latihan kecemasan mahupun keselamatan paling memberi kesan terhadap saya.

“Sepuluh hari menjalani latihan itu cukup memberi gambaran tugas dipikul saya kelak bukan sembarangan.

“Memahirkan diri dalam tempoh singkat bagi aspek itu sekurang-kurangnya mencabar diri serta mental saya sebelum berada dalam ‘setting’ sebenar,” katanya yang perlu memperoleh markah 90 peratus dalam ujian keselamatan untuk lulus.

Manakala aspek kesihatan amalan minum air kosong serta pengambilan vitamin tambahan banyak membantu dirinya.

“Tidak mengambil alkohol serta selalu minum air kosong sambil aktif bersenam adalah amalan saya untuk memastikan saya bersedia melaksanakan tugasan,” katanya.

BANTUAN...perlu tahu kendali tangki oksigen.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan, Datuk Mohd Salleh Ahmad Tabrani, mengalu-alukan kehadiran ahli baru dalam keluarga besar Mas.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memastikan kru kabin mendapat latihan mencukupi dan bersedia mengendali penumpang ketika penerbangan.

“Kepuasan pelanggan ialah aras pengukur dalam menilai perkhidmatan kabin berkualiti. Perkara yang diteliti bukan saja aspek keselesaan serta kemudahan dalam penerbangan, tetapi juga membabitkan isu keselamatan pelanggan.

“Sebaik menyentuh isu ini, tentu mereka yang memainkan peranan paling besar ialah kru kabin dalam penerbangan,” katanya.

PROFIL:

NAMA: Dayang Noorizzah Abang Noorzuki
UMUR: 24 tahun
ASAL: Kuching, Sarawak
PENGALAMAN: Sebelum ini bekerja di bahagian tiket, MAS
KEMAHIRAN: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan dialek Sarawak
ADIK-BERADIK: Keenam daripada tujuh beradik

PROFIL:

NAMA: Norsheena Amran Ramakrishna
UMUR: 22 Tahun
ASAL: Shah Alam, Selangor
PENGALAMAN: Juruwang sambilan
KEMAHIRAN: Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
ADIK-BERADIK: Bongsu daripada dua beradik

PROFIL:

NAMA: Melissa Ting 
Tian Fui
UMUR: 25 tahun
ASAL: Kota Kinabalu, Sabah
PENGALAMAN: 
Kru kabin kontrak
KEMAHIRAN: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan dialek Cina
ADIK-BERADIK: Sulung daripada empat beradik


INFO:


  • Majlis konvokesyen bertujuan meraikan dua kumpulan kru kabin yang menamatkan latihan baru-baru ini

  • Majlis berlangsung di Lecture Theater, Akademi Penerbangan Malaysia, Kelana Jaya

  • Seramai 36 kru kabin membabitkan dua sesi pengambilan iaitu pada Jun serta Ogos

  • Rata-rata mereka mengikuti penerbangan domestik serta negara Asia Tenggara

  • Sebanyak 12 sesi penilaian, termasuk ujian kecemasan, perlu dilalui sebelum mereka boleh mengikuti penerbangan