Friday, December 2, 2011

Kontroversi FFM 24 :Jurey marah tapi tiada dendam di hati (GAMBAR)



WAJAH gembira Shaheizy Sam sewaktu menerima cek kemenangannya daripada Mohd. Zulkifli Ab. Wahab (tengah) sambil diperhatikan Jurey Latiff Rosli.

MESKIPUN Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) cuba untuk lari daripada kontroversi sewaktu menganjurkan Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM 24), nampaknya perkara itu tidak dapat dielakkan.


Malah pengerusinya, Jurey Latiff Rosli menganggap kontroversi sudah menjadi sebahagian daripada asam garam penganjuran mana-mana festival di negara ini.

Diberi mandat untuk menganjurkan festival bertaraf nasional untuk kali pertama, Jurey mengakui ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk dipikul.

“Banyak perkara yang harus diambil kira dalam memastikan perjalanan festival filem kali ini berjalan lancar.

“Tetapi biasalah, laluan yang dilalui itu bukannya semudah yang disangka kerana ia perlu menempuhi onak yang berliku sebelum sampai ke destinasinya.

“Sudah pasti apabila kali pertama diberi peluang menganjurkan festival sebesar ini, ia tidak akan menjadi selancar seperti mana yang diharapkan. Saya menganggap perkara itu adalah normal,” jelas Jurey Latiff sewaktu ditemui pada Malam Apresiasi FFM 24 di Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Semuanya bermula pada malam pembukaan FFM 24 yang berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada 16 November lalu apabila nama Jurey Latiff diumumkan sebagai Pengarah Harapan bagi filem pertamanya, Libas.

Dengan kemenangan itu, ia telah mencetuskan kontroversi apabila Jurey Latiff dikatakan tidak layak untuk memenanginya atas dasar jawatannya sebagai penganjur FFM 24.

Tidak cukup dengan itu, filem Libas sekali lagi menjadi bahan perdebatan apabila ia memenangi kategori Cerita Asal Terbaik walhal penerbitnya sendiri mengakui Libas mencedok idea daripada filem Shaolin Soccer.

Sekali lagi, Jurey Latiff mempertahankan dirinya dengan mengatakan bukan dirinya yang menghantar sebarang pencalonan tetapi semuanya terletak kepada keputusan penerbit.

“Saya menganggap perkara ini sebagai lumrah kerana dalam festival filem sebelum ini, kontroversi seperti ini pernah terjadi.

“Tan Sri Jins Shamsudin dan Ahmad Puah Onah antara yang pernah terkena tempias ini apabila mereka merupakan penganjur tetapi filem mereka memenangi anugerah.

“Semuanya terletak kepada pemilihan dan keputusan juri untuk memilih pemenang yang layak. Apa yang boleh saya katakan, saya langsung tidak terlibat dalam penjurian,” ujar Jurey yang juga pernah diiktiraf dengan trofi Pengarah Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2006 menerusi drama Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan ini lagi.

Dalam masa yang sama, Jurey memberitahu, dia menerima maklum balas yang baik daripada karyawan seni berhubung penganjuran FFM 24.

Walaupun respons yang diberikan bukanlah di tahap terbaik dan cemerlang, tetapi selaku penganjur Jurey Latiff berpuas hati dengan maklum balas yang diterima.

“Apa yang boleh saya katakan, rata-rata memberikan respons yang sederhana, tidak di atas mahupun di bawah.

“Insya-Allah, kami akan mengadakan post mortem bersama-sama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk mencari jalan penyelesaian bagi memperbaiki kelemahan untuk edisi akan datang.

“Setakat ini Gafim masih lagi menimbangkan sama ada untuk menganjurkan FFM 25 tahun depan. Semua sedia maklum, FFM merupakan acara yang mendapat bantuan kerajaan untuk menganjurkannya.

“Jadi, jika Gafim terus diberi kepercayaan untuk menganjurkan FFM tahun depan, kami tidak akan menolak peluang itu dan akan memberikan yang terbaik,” katanya penuh optimis.

Dalam pada itu, Jurey Latiff sempat ditanya apakah penerbit, Raja Azmi Raja Sulaiman sudah menghantar surat memohon maaf kepada pihaknya di atas kekecohan yang tercetus pada malam pembukaan FFM24 tempoh hari.

Apatah lagi selepas Raja Azmi berbuat demikian kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, barangkali ramai yang menganggap penerbit wanita itu mengambil tindakan yang sama kepada Gafim.

Dengan penuh terbuka Jurey Latiff memberitahu pihaknya menerima secara terbuka seandainya Raja Azmi mahu berbuat demikian.

“Apa yang pasti, saya sendiri telah melupakan apa yang berlaku. Jika dia (Raja Azmi) mahu menghantar surat, kami menerimanya dengan penuh terbuka. Antara saya dan dia, memang tiada dendam di hati,” kata Jurey Latiff tanpa selindung.

Sementara itu, Majlis Apresiasi FFM 24 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan kesemua pemenang FFM 24 menerima cek kemenangan mereka dalam festival yang berlangsung di Putrajaya pada 20 November lalu.

Ini termasuklah KRU Studios yang diwakili Norman Abdul Halim yang memenangi lapan anugerah termasuk Filem Terbaik bagi Hikayat Merong Mahawangsa.

Datuk Yusof Haslam pula mewakili Skop Productions bagi filem KL Gangster yang memenangi lima trofi termasuk Pengarah Terbaik untuk anaknya, Syamsul.

Pemenang lain yang hadir termasuklah Shaheizy Sam bagi Pelakon Lelaki Terbaik, Siti Shahrizah atau Eja (Pelakon Wanita), Shoffi Jikan (Pelakon Pembantu Lelaki), Faezah Elai (Pelakon Pembantu Wanita), Mia Sara Nasuha (Pelakon Kanak-Kanak), Nadiya Nisaa (Pelakon Harapan Wanita) dan Taiyuddin Abu Bakar (Pelakon Harapan Lelaki).

Kesemua hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab.