Thursday, December 1, 2011

Keunikan reka bentuk kek jadi tarikan


Bersandarkan pengalaman dan minat dalam bidang pastri selama tiga tahun membuka peluang perniagaan kecil-kecilan pada hujung minggu bagi mendapat pendapatan sampingan, sekali gus tidak mengabaikan pengetahuan yang dipelajarinya.

Pemilik Kek Perkahwinan buatan sendiri (homemade), Shairnatul Baharon, 34, berkata, kebanyakan tempahan kek perkahwinan diperoleh melalui mak andam, individu persendirian menerusi perkhidmatan atas talian atau daripada mulut ke mulut.

“Biasanya tempahan ketika hujung tahun dan musim perkahwinan boleh mencecah lima tempahan seminggu atau 10 sehingga 15 tempahan sebulan.

“Saya tidak mengambil tempahan yang banyak kerana ingin memastikan kek yang dihasilkan memenuhi permintaan pelanggan dari segi kualiti dan cita rasa,” katanya yang juga bekas pelajar jurusan Kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurutnya, sehingga kini, terdapat kira-kira 30 rekaan kek perkahwinan yang telah dibuat berdasarkan permintaan pelanggan antaranya yang mendapat permintaan tinggi adalah kek krim mentega, coklat dan fondant.

Katanya, kek yang dihasilkan tidak sama dengan kek perkahwinan yang terdapat di pasaran daripada seni rekaan mahupun rasa kerana dia sentiasa memastikan kualiti keknya lain daripada lain dan dapat memuaskan hati pelanggan.

Bagi memastikan kek yang terbaik tempahan awal perlu dilakukan oleh pelanggan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum majlis berlangsung.

Shairnatul berkata, pelanggan yang menempah kek daripadanya rata-rata memberikan maklum balas yang positif dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Selain kek perkahwinan, saya turut menerima tempahan kek hari jadi dan ulang tahun mengikut rekaan permintaan pelanggan antaranya karakter kartun dan Angry Birds,” katanya yang juga membuka kelas pastri di Port Dickson.