Saturday, December 17, 2011

Kerinduan kepada Que Haidar

          
KEPUTUSAN Que Haidar atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar untuk berundur daripada industri seni mengejutkan banyak pihak. Apa tidaknya, kebolehan anak jati Kulai, Johor ini menjiwai setiap karakter dalam filem lakonannya diperakui ramai dan tidak pernah menghampakan.

Pendirian suami pereka tari terkenal, Linda Jasmine dan bapa kepada Mohd Qalif Khan dan Tengku Ratu Haidar ini membuatkan peminatnya hampa. Belum puas menonton aksi hebat di layar perak sepanjang lapan tahun pembabitannya dalam bidang itu, tiba-tiba mengumumkan mahu bersara.

Bagaimanapun, kemunculannya dalam filem Misteri Jalan Lama sebagai pelakon utama di samping Hans Isaac mengubat kerinduan peminat, bahkan ramai tidak sabar-sabar mahu menonton lakonannya menerusi Rock 2. 

Ikuti luahan ikhlas Que mengenai kehidupan barunya bersama SELEBRITI.

Kemunculan anda dalam Misteri Jalan Lama mengubat kerinduan peminat. Adakah ini petanda baik untuk kembali aktif? 

Sebenarnya itu antara filem terakhir sebelum saya mengumumkan pengunduran daripada industri. Filem terakhir saya adalah Rock 2 yang akan menjengah pawagam April atau Mei tahun depan. Buat masa ini saya tetap dengan pendirian dan jika ada tawaran yang mampu membuka hati, insya-Allah akan saya terima. 

Saya bahagia dengan apa yang saya buat sekarang dan jika mahu kembali beraksi depan kamera, alasannya mesti bagus. Rock 2 misalnya, tawaran hadir empat bulan sebelum penggambaran bermula. 

Awalnya saya tolak tetapi apabila abang Mamat Khalid cakap penggambaran tidak akan dimulakan jika saya tidak berlakon, saya rasa bertanggungjawab. 

Selepas meneliti skrip, terbukti ia jauh lebih bagus daripada Rock, malah watak saya juga berkembang baik. Lagipun saya selesa bekerja dengan abang Mamat dan rakan dalam filem ini. 

Justeru, saya menerima tawaran itu atas dasar tanggungjawab, skrip dan persahabatan. Dan, jika ada tawaran lagi selepas ini perkara sama akan saya teliti iaitu skrip, watak, pelakon dan pengarah. 


Tidakkah rindu untuk kembali beraksi? 

Kerinduan itu ada. Apa tidaknya, berlakon adalah cita-cita saya sejak kecil. 
Setiap kali menonton filem dan lakonan barisan pelakon bagus, saya teringin nak beraksi balik dan jika kurang bagus, saya jadi geram. Itu yang buat saya rindu kembali seperti dulu, tetapi keadaan tidak mengizinkan. 

Saya ada kerjaya yang baik dan mahu kualiti masa melihat anak membesar depan mata. Ketika penggambaran Rock 2, Ratu belajar bercakap dan saya hanya mendengar menerusi telefon. Ketika itu saya rasa sangat teruk kerana tiada di sisi Ratu, sedangkan itu perkara baru baginya. 

Biarpun cinta terhadap dunia lakonan mendalam, saya kena rasional dan tidak boleh pentingkan diri. Ini kerana saya bukan lagi bujang tetapi ada isteri dan anak yang perlu diberi perhatian. 

Ada orang yang boleh berjauhan lama dengan anak, tidak kisah jika tidak dapat luangkan masa dengan keluarga dan mampu seimbangkan antara kerjaya dan lakonan, tetapi tidak saya. Sama seperti bapa, saya jenis ‘family man’. 

Tidak ralat mengambil keputusan untuk memperlahankan rentak ketika nama di kemuncak? 

Sedikitpun tidak kerana saya ada perkara baru untuk diteroka iaitu kehidupan berkeluarga. Bagi saya, ia sangat menarik untuk dinikmati. Terasa lebih bermakna hidup apabila ada isteri, anak, mentua dan ipar-duai. Alhamdulillah, saya gembira dengan keputusan ini. 

Sejak kecil saya sedar ada bakat lakonan tetapi apabila ada perkara yang boleh mengalih perhatian, saya tidak ralat. Pada mulanya saya mahu memperlahankan karier tetapi apabila timbul macam-macam cerita dan dakwaan kurang enak mengenai isteri, saya jadi geram. 

Saya tidak suka orang cakap bukan-bukan pasal Linda, sedangkan mereka tidak tahu cerita sebenar. Saya bosan dengan keadaan itu dan mengambil keputusan untuk berhenti. 

Pun begitu, ramai teman menasihati saya supaya jangan bersara, paling tidak pun buatlah satu filem setahun. Seperti saya cakap tadi, jika ada tawaran yang mampu buat hati saya terbuka, insya-Allah saya akan buat. 


Perkembangan terkini? 

Saya mengajar asas lakonan di Linda Jasmine Performing Arts Studio di Ampang Point serta aktif menganjurkan bengkel lakonan. Selain itu saya mula berjinak-jinak dengan bisnes kecil-kecilan menjual pakaian dan kasut. Produk ini saya ambil dari luar negara dan ia lebih kepada elemen etnik. 

Kontrak mengajar di Universiti Tun Razak sudah tamat dan andai ada yang memanggil saya untuk hadir sebagai tenaga pengajar dalam bengkel lakonan, tidak akan saya tolak andai ada kelapangan. 


Industri menyaksikan peningkatan membanggakan, malah wajah baru juga tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan. Komen anda? 

Saya gembira dengan perkembangan positif industri. Ada filem yang meraih kutipan berjuta-juta, bahkan kita wajar berbangga dengan kemunculan pengarah muda yang berani menongkah arus seperti Syamsul Yusof. 

Sepanjang dua tahun tidak ada dalam industri, saya perhatikan ramai pendatang baru dan ada antara mereka berbakat besar dan boleh pergi jauh. Antara yang menyerlah adalah Zahiril Azim dan Johan As’ari. 

Pun begitu, ramai juga yang sekadar bersandarkan rupa. Nasihat saya kepada pendatang baru yang tergolong dalam golongan ini, masuk kelas lakonan. Perlu ingat, saingan kian sengit, hanya ilmu dan bakat yang boleh buat mereka kekal lama. 

Seperkara lagi, lakonan sama seperti fesyen di mana ada era. Pelakon yang baik perlu berlakon mengikut zaman. Kita tidak boleh statik pada lakonan yang lama, sebaliknya perlu seiring dengan perubahan zaman. 

Rutin anda sebagai bapa? 

Saya bertuah dikurniakan anak yang baik. Qalif berusia 11 tahun manakala Ratu pula dua tahun dua bulan. Ratu kelakar, perasan dirinya puteri dan sangat rapat dengan abangnya. Bagaimanapun, dia sedikit keras kepala, suka memerintah dan selalu bergaduh dengan saya. 

Biasalah budak tengah nak berkembang, sebagai ibu bapa kita kena banyak bersabar. Setiap hari dia mahu nampak cantik, pantang nampak kasut tumit tinggi atau barang solek ibunya, pasti dia akan kacau. Terpaksalah Linda belikan dia set solek. 

Linda hamil empat bulan dan kali ini alahannya lebih teruk daripada mengandungkan Ratu. Saya tidak sampai hati melihat keadaannya, lebih-lebih lagi kali ini dia kerap diserang migrain. Sebagai suami, saya kena bagi semangat dan pastikan dia senang hati. 

Insya-Allah, bayi dalam kandungan perempuan. Mula-mula Qalif kurang gembira sebab dia nak adik lelaki tetapi selepas saya cakap dia satu-satunya anak lelaki saya dan kami boleh jadi kawan baik, dia boleh terima akan dapat seorang lagi adik perempuan. 

Biarpun masih kecil, Ratu faham dia akan dapat adik dan selalu cium perut ibunya. Ini adalah kandungan terakhir Linda dan saya berdoa semoga Linda dan bayi kami sihat.