Wednesday, December 28, 2011

Jue Aziz kena sihir, nafi “tak disiplin”

KECEWA dengan laporan yang mengatakan dia kini mempunyai masalah disiplin.
AKHIRNYA teka-teki mengenai status sebenar Jue Aziz di dalam pementasan teater Semerah Padi terjawab, apabila dia muncul buat pertama kali pada hari ketiga pementasan teater tersebut di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jue Aziz atau nama sebenarnya Zuliana Abd. Aziz, 28, sebelum ini dikatakan bakal digugurkan dari pementasan teater tersebut kerana masalah yang ditimbulkan pelakon itu sendiri.

Dia yang dikatakan gagal hadir sewaktu latihan minggu terakhir pementasan teater ini menimbulkan keadaan panik kepada pihak produksi kerana tiba-tiba sepi tanpa berita dan gagal di hubungi .

Menjawab persoalan kehilangan misteri dari latihan pementasan teater tersebut, Jue memberitahu bahawa dia sebenarnya terpaksa mengambil cuti sakit selama empat hari apabila kondisi badannya terlalu lemah untuk meneruskan latihan yang sudah bermula sejak pertengahan November lalu.

“Saya diberi cuti sakit bermula 16 sehingga 19 Disember.

“Saya pitam dan muntah-muntah. Keadaan ini menyebabkan seluruh anggota saya menjadi terlalu lemah sehingga gagal hadir ke latihan,” katanya ketika ditemui selepas pementasan teater Semerah Padi di Istana Budaya baru-baru ini.

Menurut Jue dia sangat kecewa dengan pendedahan media sebelum ini yang mengatakan bahawa dia mempunyai masalah disiplin dan gagal hadir ke latihan selama berminggu-minggu, sehingga menimbulkan masalah kepada pihak produksi teater Semerah Padi.

“Adalah tidak benar bahawa saya tidak hadir ke latihan selama berminggu-minggu seperti yang dilaporkan. Saya juga menyangkal dakwaan yang mengatakan tarikh pementasan teater ini dianjak adalah disebabkan saya.

“Apa yang berlaku adalah saya terlalu lemah untuk meneruskan latihan pada minggu terakhir, malah saya ada memberitahu pihak produksi mengenai keadaan sebenar saya,” jelasnya.

Bagaimanapun watak Dara yang dibawa Jue juga dikongsi dengan pelakon Arbaiah Ahmad Nadzri atau Abby Nadzri, dimana kedua mereka akan bergilir membawa watak ini sepanjang pementasan teater itu berlangsung ketika ini.

Teater ini telah dipentaskan bermula 21 Disember lalu dan berakhir pada 31 Disember ini.

Menurut Jue dia langsung tidak terkilan memberikan laluan kepada Abby untuk sama-sama memegang watak Dara, malah menurutnya kehadiran Abby yang dipilih empat hari sebelum pementasan pertama teater ini diadakan amat membantunya

“Mungkin ini yang terbaik memandangkan keadaan saya masih lagi belum pulih sepenuhnya.

“Tidak mahu penonton keliru dengan kemunculan Dara yang berbeza, kami berdua sering berbincang agar pembawaan watak Dara itu dapat di hidupkan dalam keadaan yang sama oleh kedua kami,” katanya yang tetap hadir ke latihan selepas mengambil cuti sakit selama empat hari.

Pernah menjayakan Bangsawan Naga Chini, pada 2006 menurut Jue dia amat teruja untuk menerima tawaran sebagai Dara di dalam teater Semerah Padi ini.

“Saya sangat teruja untuk menerima tawaran ini pada awal bulan oktober lalu.

“Malah bagi memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pementasan teater ini, saya langsung tidak mengambil tawaran lain,” katanya.

Bukan sakit akibat sihir

Ditanya sama ada sakit yang dihadapinya ini akibat daripada terkena sihir bagai diperkatakan, menurut Jue ia tidak berkaitan sama sekali.

“Saya bukan terkena buatan orang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Dan sehingga hari ini juga saya sebenarnya belum 100 peratus sihat,” katanya.

Walaupun muncul hanya pada hari ketiga pementasan teater ini diadakan, menurut Jue dia tetap berbangga kerana mampu membawakan watak Dara dengan baik walaupun tidak menjalani latihan sepenuhnya.

“Saya langsung tidak pernah menghabiskan latihan pementasan ini sepenuhnya akibat keadaan saya yang tidak mengizinkan.

“Dan hari ini apabila diberi peluang untuk membawakan watak Dara buat pertama kali, perkara pertama yang difikirkan saya adalah kemampuan saya. Bagaimanapun saya bersyukur kerana berjaya membawakan watak Dara ini dengan baik hari ini,” katanya yang bakal berlepas ke Indonesia penghujung bulan Febuari depan untuk telemovie bersama produksi di sana.

Sementara itu teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh ini turut dibintangi Khir Rahman, Fauzi Nawawi, Datuk Baharuddin Omar, Azizah Mahzan, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Baby Erin.

No comments:

Post a Comment