Saturday, December 31, 2011

Juara Idola Kecil 4 Fifa Pengsan (VIDEO)

  
Konsert Akhir Idola Kecil 4 (IK4) yang melabuhkan tirai 2011 malam tadi menyaksikan peserta cilik, Fifa berjaya merebut takhta juara bagi musim keempat. Kemenangan Fifa atau nama sebenarnya Sharifah Nurhafila Wan Aziz sekaligus melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 15,000 berserta trofi.

Menyampaikan dua buah lagu, ‘Aku Permata’ nyanyian Salma serta lagu baru, ‘Cinta Sebelah Meja’, ciptaan sepenuhnya Cikgu Delly, Fifa berjaya mengalahkan lima peserta akhir yang lain iaitu Nabihah Idrus (Abby), Farisha Asmadi (Irish), Sharifah Rusilmu Imani Syed Hussain (Rusil), Sarah Elyssa Khairul Fahmy (Shasha) dan Hairul Asri Alis Sjofjan (Hairul). Saat namanya diumumkan sebagai juara, peserta dari Selangor ini dilihat seolah-olah hampir pengsan kerana tidak percaya dengan kemenangannya pada malam tadi.

“Sebenarnya Fifa memang tak sangka akan jadi juara kerana kawan-kawan lain pun buat persembahan yang hebat. Fifa sendiri pun tak boleh nak jangka siapa yang akan menang sebab itu Fifa sangat terkejut dengan kemenangan ini,” ujar Fifa ketika ditemui sejurus selepas konsert.

“Fifa ingin ucapkan terima kasih kepada ibu dan ayah Fifa serta cikgu-cikgu yang banyak ajar Fifa selama ini. Tanpa mereka Fifa tak akan mungkin jadi juara IK4. Selepas ini, Fifa akan teruskan minat dan perjuangan dalam bidang seni ini sebagai seorang penyanyi. Duit kemenangan itu pula mungkin Fifa akan belanja keluarga dan simpan untuk masa depan Fifa.”


Konsert akhir IK4 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dihoskan oleh Alif Satar manakala persembahan peserta dinilai oleh tiga juri iaitu Atilia, Adnan Abu Hassan dan Seelan Paul. Menurut penerbit IK4, Sharizan Razali, musim ke-4 merupakan musim yang paling sengit kerana peserta kali ini hebat-hebat belaka.


“Dari segi peningkatan persembahan dan vokal, musim ini yang paling bagus. Secara peribadi, memang tak boleh nak teka siapa yang bakal menang. Susah nak tentukan siapa yang menang sebab semuanya berbakat. Markah Top 3 dan Bottom 3 juga tak banyak beza. Bagi saya, persaingan memang sengit pada kali ini.”

No comments:

Post a Comment