Thursday, December 22, 2011

JCorp tidak dibebani hutang tambahan ambil alih KFCH, QSR


KUALA LUMPUR 22 Dis. - Pengambilalihan ke atas KFC Holdings Bhd. (KFCH) dan QSR Brands Bhd. (QSR) tidak akan mengakibatkan beban hutang tambahan kepada Johor Corporation (JCorp) kerana pembiayaan transaksi itu akan dilakukan menerusi Massive Equity (Massive Equity) Sdn. Bhd.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, langkah itu juga mendapat sokongan penuh serta persetujuan daripada Lembaga Pengarah JCorp, sebagai perancangan rasionalisasi perniagaan Kumpulan yang lebih besar.

"Apabila proses pelupusan syarikat-syarikat ini kepada Massive Equity selesai, perolehan yang dijana akan diagihkan kepada semua pemegang saham QSR dan KFC," katanya dalam satu kenyataan itu di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, langkah itu juga akan memberi peluang kepada Kulim, yang kini merupakan pemilik utama QSR, untuk melupuskan pegangannya dalam perniagaan runcit makanan dan memberi tumpuan terhadap aktiviti bisnes utamanya, iaitu perladangan.

"Pengambilalihan ini juga membolehkan JCorp memperoleh kawalan secara terus terhadap kepentingan ekuiti dalam kedua-dua syarikat, berdasarkan kepercayaan penuh terhadap asas dan nilai jangka panjang KFC dan QSR.

"JCorp percaya bahawa pengambilalihan ini juga akan memenuhi kepentingan semua pihak yang terlibat terutamanya dalam mempertahankan kepentingan Bumiputera," katanya.

Kata Kamaruzzaman, penerimaan tawaran oleh panel Pengarah Bebas QSR dan KFC dilihat sebagai bukti bahawa cadangan tersebut memberi manfaat kepada para pemegang saham dan sokongan mereka terhadap proses rasionalisasi perniagaan Kumpulan JCorp.

Minggu lalu, JCorp telah mengemukakan surat tawaran menerusi Massive Equity kepada Lembaga Pengarah KFC dan QSR untuk mengambilalih kedua-dua syarikat berkenaan.

Tawaran dibuat pada harga RM4.00 bagi setiap unit saham KFC dan RM6.80 bagi setiap unit saham QSR.

Sebelum ini, sumber dilaporkan berkata, KFC dan QSR menjadi taruhan JCorp dalam menstruktur semula hutangnya sebanyak RM3.6 bilion kerana penjualan KFC dan QSR masing-masing mampu menjana kira-kira RM3.2 bilion dan RM2 bilion.

No comments:

Post a Comment