Tuesday, December 13, 2011

Hari haiwan kesayangan di Desa Park City, Kuala Lumpur (7 GAMBAR)


HUJAN turun dengan lebat ketika Pertubuhan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor dan kedai haiwan kesayangan, PetsMore menganjurkan acara Celebrate Your Love for Animals di Desa Park City, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun, hujan yang mencurah-curah itu tidak sedikitpun mematahkan semangat pencinta haiwan untuk menjayakan acara pada hari tersebut bersama haiwan kesayangan masing-masing.

Dianjurkan sempena Hari Haiwan Sedunia, ia menyaksikan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat teruja membawa bersama haiwan peliharaan mereka.

Pelbagai aktiviti khusus untuk haiwan peliharaan telah diaturkan termasuk kelas latihan anjing oleh Dog Gone Good, acara jalan kaki untuk amal di sekitar taman dan pertunjukan menari dengan anjing yang dianjurkan organisasi yang melatih anjing, Pet and You.

Aksi-aksi lucu seperti anjing cuba untuk melakukan Moonwalk dan 'pertarungan' merebut Frisbee antara dua ekor anjing membuatkan ramai terhibur.

Pejuang kebajikan haiwan, Thanuja Ananthan (Miss World Malaysia 2009) menjalankan tugasnya selaku juruacara pada hari itu selain turut menyertai acara jalan kaki untuk amal bersama seekor anjing dari pusat perlindungan SPCA.

Rakan-rakannya dan wakil-wakil organisasi bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan kebajikan haiwan turut memeriahkan sambutan itu dengan aktiviti mereka sendiri.

SPCA menggunakan kesempatan itu untuk menyampaikan anugerah kepada beberapa pejuang kebajikan haiwan.

Antara yang menerima anugerah-anugerah tersebut ialah Kumpulan Penyelamat Terbaik (dimenangi oleh kumpulan Kucing Terbiar Dan Anjing Jalanan- KTAJ).

Anugerah SPCA 2011 untuk Sokongan Dalam Pendidikan Kemanusiaan Mengenai Kebajikan Binatang dimenangi oleh syarikat perbankan HSBC, manakala Anugerah SPCA 2011 untuk Kumpulan Sukarelawan Sekolah Paling Aktif Memberi Sokongan dimenangi Sekolah Antarabangsa Kula Lumpur.

Acara kemuncak ialah penyampaian Anugerah Juara Haiwan Peliharaan Kesayangan yang dimenangi oleh Coco, seekor anjing comel kerana menyelamatkan keluarga seramai tujuh orang daripada kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di George Town, Pulau Pinang dalam sebuah tragedi Ogos lalu.

Menurut Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin, pihaknya akan meneruskan dedikasi untuk melindungi haiwan.

"Kami percaya haiwan perlu mendapat sekurang-kurangnya lima kebebasan mereka, termasuk kebebasan daripada kelaparan dan dahaga," katanya. - NURUL IZZA ROSLY