Monday, December 19, 2011

Haji Haji Haji Mustafa atau Zaidy mula mencipta nama

FOKUS... Bakat cilik ini sentiasa fokus dalam memastikan hasil yang terbaik.

WALAUPUN usianya masih muda, bakat pelakon cilik yang pernah membawa watak Haji Haji Haji Mustafa dalam drama Qalesya yang disiarkan di Astro Oasis tahun lalu, kini melangkah setapak lagi di dalam industri seni tanah air.

Dalam perkembangan terbaru pemilik nama Ahmad Zaidyansjah Ruddyansjah, 15, atau lebih mesra dengan panggilan Zaidy ini, dia kini sedang sibuk menjalani latihan Teater Muzikal Upin & Ipin yang dijadualkan akan memulakan pementasan pada April sehingga Mei tahun hadapan.

Memulakan langkah pertama dalam bidang seni pada tahun 2006 melalui Teater Muzikal Ali Baba, bersama selebriti terkenal, Aznil Nawawi, kini Zaidy berpeluang memegang watak Upin dalam teater muzikal itu.

Teater Muzikal Ali Baba langkah pertama

Menceritakan kembali pengalamannya ketika pertama kali menjalani sesi uji bakat untuk Teater Muzikal Ali Baba, ternyata anak sulung daripada lima beradik ini tidak menyangka kini peluangnya semakin terbuka luas

"Ketika itu, keluarga saya baru sahaja berpindah ke Kuala Lumpur.

"Kebetulan pada ketika itu kawan ayah menyatakan ada uji bakat untuk pementasan teater itu.

"Masa datang uji bakat teater tersebut, saya hanya ingin mencuba sahaja.

"Tidak sangka pula akhirnya saya terpilih untuk memegang watak utama dalam teater tersebut," ujarnya.

Malah, lebih membanggakan lagi, Zaidy juga telah berjaya menggondol anugerah Persembahan Terbaik pada 8th International Children Festival For Performing Arts di New Delhi, India pada tahun 2007 melalui teater tersebut.

Tanpa berselindung, Zaidy mengakui untuk mendalami watak yang dibawakannya ketika itu, dia menonton berulang kali filem Ali Baba Bujang Lapok untuk mendapatkan rentak.

"Ketika itu, jika ada masa terluang, saya pasti akan menonton filem tersebut.

"Dengan menonton filem berkenaan, ia membantu saya memahami dan menjiwai watak dengan lebih baik dan berkesan," katanya ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.

Bukan sahaja tertumpu kepada bidang teater, Zaidy juga sebenarnya turut membuat kemunculan pertamanya melalui telemovie berjudul Budak Angkasawan yang pernah disiarkan di TV2 tahun lalu.

Selain Budak Angkasawan, Zaidy juga pernah membintangi telemovie Warkah Untuk Ibu (TV9) dan juga drama kanak-kanak Hikayat Putera Shazlan (musim ketiga) di Astro Ceria.

Jujurnya, pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Sentul yang berbakat besar ini mampu melangkah jauh melihatkan hasil usahanya sendiri dalam melebarkan sayap dalam bidang seni.

Berbekalkan sikapnya yang sentiasa bersemangat menceburkan diri dalam aktiviti seni, tidak mustahil suatu hari nanti bakat kecil ini mampu mencipta nama besar di persada seni tanah air.